Delegasi Institut Seni Kreatif Nusantara dan Fakulti Filem, Teater dan Animasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) bersama Anak Seni Legasi Mandala selepas merangkul empat anugerah di di Andong Mask Dance Festival 2025, Korea Selatan, baru-baru ini.

SHAH ALAM – Universiti Teknologi MARA (UiTM) sekali lagi mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa apabila Institut Seni Kreatif Nusantara (INSAN) berjaya meraih empat anugerah utama di Andong Mask Dance Festival 2025 yang berlangsung dari 26 September hingga 5 Oktober 2025 di Andong City, Korea Selatan.

Pertandingan tahunan bertaraf dunia itu menghimpunkan hampir 1,000 peserta daripada 30 negara, menjadikannya antara festival budaya antarabangsa paling berprestij di rantau Asia.

Penganjuran festival ini merupakan usaha bersama Kerajaan Bandar Andong, Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea Selatan, dan Andong Mask Dance Festival Foundation, dengan kerjasama International Mask Arts & Culture Organization (IMACO).

Sejak tahun 1997, Andong telah diiktiraf UNESCO sebagai pusat utama seni topeng dunia.

Malaysia yang diwakili oleh UiTM melalui INSAN, Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), serta Anak Seni Legasi Mandala (ALAM), membawa pulang pencapaian membanggakan apabila menggondol Anugerah Emas (₩2,000,000) dan Anugerah Khas Juri (₩200,000) bagi Kategori Kumpulan Antarabangsa, serta Anugerah Gangsa (₩300,000) dan Anugerah Khas Juri (₩150,000) bagi Kategori Individu.

Delegasi UiTM diketuai oleh Prof. Dr. Mohd Kipli Abdul Rahman, Pengarah INSAN UiTM; bersama Amandus Paul Panan (Ahli Bersekutu INSAN / Penerbit Artistik/FiTA UiTM) dan Khairul Anuar Zainudin (Ahli Bersekutu INSAN/Pengarah Persembahan/FiTA UiTM).

Kolaborasi ini turut disertai Anak Seni Production, Legasi Terindah, Seri Mandala, Centre Stage Vision Dynamic, dengan Tourism Malaysia sebagai penaja bahan promosi dan BilBerkarya Production sebagai penaja rasmi.

Selain kejayaan pertandingan, delegasi UiTM turut menandatangani tiga Surat Hasrat Kolaborasi (Letter of Intent – LOI) bersama institusi seni dan budaya antarabangsa.

Mereka turut mengadakan perbincangan awal dengan delegasi dari Korea, Turkiye, Jepun dan Filipina bagi potensi kerjasama akademik, pertukaran pelajar dan inisiatif budaya di masa hadapan.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UiTM, Prof. Ts. Dr. Norazah Abd Rahman, kejayaan ini membuktikan keupayaan UiTM dalam memperkukuh jaringan penyelidikan dan inovasi seni di peringkat global.

“INSAN dan Fakulti Filem, Teater dan Animasi UiTM telah mengangkat seni budaya Malaysia sebagai bahasa sejagat yang menghubungkan akademia, masyarakat dan dunia,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, menyifatkan pencapaian tersebut sebagai bukti sinergi antara universiti, industri kreatif dan komuniti seni.

“Kemenangan ini bukan sekadar kejayaan akademik, tetapi juga satu bentuk diplomasi budaya yang memperkukuh imej Malaysia di mata dunia. UiTM amat berbangga kerana kejayaan ini bukan sahaja mengangkat nama universiti, tetapi juga membuktikan kekuatan bakat dan kreativiti anak bangsa,” ujarnya.

UiTM percaya kejayaan ini bukan hanya pengiktirafan terhadap kecemerlangan seni persembahan, tetapi juga memperkukuh peranan universiti sebagai pemangkin pembangunan budaya dan kreativiti negara di peringkat global.

INSAN UiTM akan terus memainkan peranan penting dalam memperluas pengaruh seni kreatif Nusantara ke pentas antarabangsa, seiring aspirasi UiTM untuk menjadi Universiti Unggul Dunia 2025.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast