KUALA LUMPUR – Pelaksanaan inisiatif Subsidi Bersasar RON95 menerusi program BUDI Madani RON95 (BUDI95) disifatkan sebagai satu langkah strategik dan bersifat ‘game-changer’ dalam landskap polisi subsidi negara.
Penganalisis ekonomi dan pasaran, Datuk Dr. Nazri Khan berkata, inisiatif itu berpotensi besar bukan sahaja menstabilkan kedudukan fiskal negara, malah memastikan bantuan disalurkan secara langsung kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
“Inisiatif BUDI95 merupakan manifestasi komitmen kerajaan terhadap reformasi struktur subsidi yang lebih adil dan mampan. Ia bukan sekadar langkah penjimatan, tetapi pelaburan semula untuk masa depan ekonomi yang lebih kukuh,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, menjelang pembentangan Belanjawan 2026, fokus kerajaan dijangka tertumpu kepada pemerkasaan disiplin fiskal, pengurangan defisit serta kesinambungan dasar subsidi bersasar melalui kerangka BUDI95.
“Strategi ini diyakini bakal menjadi batu asas kepada pembentukan ekosistem fiskal yang mampan dan berasaskan kecekapan penggunaan sumber,” tambahnya.
Beliau menjangkakan pendekatan bersasar akan terus diperkasa dengan bantuan teknologi data seperti PADU, sekali gus memastikan perbelanjaan kerajaan berada pada tahap optimum.
“Ini selaras dengan misi kerajaan untuk membina semula kepercayaan pelabur dan menstabilkan kedudukan fiskal negara,” jelasnya.
Dalam konteks Belanjawan 2026, Nazri menegaskan BUDI95 akan menjadi indikator awal keberkesanan dasar fiskal kerajaan.
Katanya, penjimatan hasil rasionalisasi subsidi bahan api bakal memberi ruang fiskal baharu kepada kerajaan untuk menyalurkan dana ke sektor bernilai tambah tinggi seperti pendidikan teknikal, kesihatan awam dan infrastruktur digital.
“Dengan asas fiskal yang lebih kukuh hasil penjimatan BUDI95, kerajaan mampu melaksanakan dasar fiskal pengembangan terpilih, bukan sahaja bagi mengawal defisit, tetapi juga menyalurkan semula peruntukan kepada projek yang memberi pulangan sosial dan ekonomi lebih besar kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut menyatakan Belanjawan 2026 berpotensi menjadi titik keseimbangan antara pengukuhan fiskal dan pengembangan ekonomi.
“Kejayaan pelaksanaan BUDI95 akan menjadi kayu ukur kepada kredibiliti kerajaan dalam mengurus fiskal secara berdisiplin tanpa mengabaikan tanggungjawab sosial terhadap golongan berpendapatan rendah.
“Ia akan memberi isyarat positif kepada pasaran modal dan pelabur antarabangsa bahawa Malaysia serius dalam reformasi fiskalnya,” katanya.
Terdahulu, kerajaan menanggung beban subsidi RON95 yang mencecah hampir RM20 bilion setahun – satu angka besar bagi ekonomi sedang membangun.
Dengan pelaksanaan subsidi bersasar menerusi BUDI95, unjuran penjimatan fiskal dianggarkan sekitar RM8 bilion setahun.
“Penjimatan seperti ini sangat kritikal. Ia akan mengurangkan defisit fiskal negara secara substantif, memberi ruang fiskal yang lebih besar, dan paling penting, mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan hutang.
“Defisit yang terkawal bukan sahaja memperbaiki nisbah hutang terhadap KDNK, malah turut meningkatkan kredibiliti negara di mata pelabur dan agensi penarafan kredit,” jelas beliau.
Nazri turut melihat BUDI95 sebagai pemangkin kepada reformasi fiskal yang lebih besar dan menyeluruh.
Sekiranya pelaksanaan inisiatif itu membuahkan hasil positif serta diterima masyarakat, kerajaan menurutnya berpeluang untuk melaksanakan pengurangan subsidi bahan api secara berperingkat.
“Penjimatan tambahan boleh disalurkan ke sektor produktif seperti pendidikan, kesihatan, digitalisasi dan infrastruktur – bidang yang menjana kesan berganda kepada ekonomi,” katanya.
Namun begitu, beliau mengingatkan agar pendekatan kerajaan dilakukan secara berhati-hati.
“Pelaksanaan secara berfasa dengan mekanisme pampasan yang kukuh kepada golongan rentan adalah kunci kejayaan dasar ini,” tegasnya. — MalaysiaGazette
















