Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika sesi perbahasan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 09 OKTOBER 2025.

KUALA LUMPUR – Ketua Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan perbincangan kerusi antara gabungan itu bersama Barisan Nasional (BN) dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) masih belum dimuktamadkan.

Jelas beliau, masih terdapat beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang belum selesai dirundingkan dan beliau dijadualkan akan terbang ke sana bagi sesi memuktamadkan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN), tidak lama lagi.

“Sudah hujung-hujung, sikit sahaja lagi biasalah. Ada (kerusi belum dimuktamadkan) tapi sangat minimum, sangat sedikit. Saya akan buat sidang media khas mengenai itu nanti,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Dua minggu lalu, Saifuddin Nasution berkata, PH kini berada di peringkat akhir rundingan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRN Sabah, dengan hanya dua atau tiga kerusi belum dimuktamadkan bagi mengelakkan pertembungan satu sama lain.

Saifuddin Nasution ketika itu berkata, perbincangan mengenai agihan kerusi melibatkan PH, BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjalan lancar dan ‘positif’.

Selasa lalu, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee menjangkakan berlaku pertembungan antara parti-parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Katanya, tanda-tanda perpecahan itu akan dapat dilihat seawal hari penamaan calon apabila parti-parti terbabit dijangka bertembung sesama sendiri di beberapa kerusi.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, mengumumkan pembubaran DUN Sabah, sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya negeri (PRN) ke-17 yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari, berkuat kuasa Isnin lalu.

Pilihan raya kali ini akan menyaksikan pertandingan bagi semua 73 kerusi DUN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast