Penaung Kempen Tabung Pahlawan (KPT), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bergambar bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (empat dari kiri) dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar (empat dari kanan) pada Majlis Peluncuran Kempen Tabung Pahlawan (KTP) 2025/2026 di Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 9 OKTOBER 2025.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef) berharap Belanjawan 2026 yang bakal dibentangkan esok mengambil kira keperluan dan perancangan  memodenkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementeriannya menaruh keyakinan bajet kali ini akan memberi tumpuan terhadap usaha memodenkan angkatan tentera.

“Kita sedia maklum melalui kajian baru penggal Kertas Putih Pertahanan, kita sudah merangka supaya dapat memodenkan angkatan tentera pada masa hadapan.

“Kedua, saya percaya bajet ini juga akan mengambil kira cabaran-cabaran yang telah kita nyatakan akan dihadapi oleh negara, sama ada cabaran tradisional ataupun bukan tradisional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Kempen Tabung Pahlawan (KTP) 2025/2026 di Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi hari ini.

Mohamed Khaled berkata, pada masa yang sama, beliau percaya belanjawan ini akan terus memberi tumpuan kepada soal kesejahteraan anggota-anggota tentera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan membentangkan Belanjawan 2026 Malaysia Madani di Dewan Rakyat esok sekaligus menandakan permulaan hala tuju baharu bagi pembangunan negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast