KUALA LUMPUR – Satu mayat lelaki dijumpai tersangkut bersama longgokan sampah di Sungai Klang berhampiran USJ 1, dekat Subang Jaya, semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira pukul 11.15 pagi memaklumkan mengenai penemuan tersebut.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati seorang lelaki tempatan yang sedang membuat tinjauan di kawasan projek berhampiran terlihat satu objek menyerupai mayat dalam keadaan terlentang dan lengkap berpakaian, tersangkut pada batu di seberang sungai.
“Mayat tersebut memakai baju T-shirt berkolar lengan pendek berwarna hitam dengan tulisan ‘Security’ dan berseluar panjang hitam. Tinggi dianggarkan sekitar 160 sentimeter,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pasukan bomba dari SS17 Subang Jaya telah digegaskan ke lokasi bagi membantu membawa mayat ke tebing sungai, sebelum pegawai perubatan dari Hospital Sungai Buloh mengesahkan kematian mangsa pada pukul 2.45 petang.
Bagaimanapun, identiti si mati masih belum dapat dikenal pasti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui bersama mayat.
“Pegawai Forensik dari Jabatan Siasatan Jenayah IPK Selangor turut hadir ke lokasi dan mendapati mayat berada dalam keadaan telah mereput. Keadaan kecederaan tidak dapat dipastikan pada masa ini,” tambah beliau.
Mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Idris Shah, Serdang untuk proses bedah siasat.
Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan lanjut.
Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes tersebut agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100 atau Ketua Balai Polis USJ8 di 019-6558707.
“Segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” jelas Wan Azlan. – MalaysiaGazette
















