Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2026 Malaysia MADANI di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 10 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR – Kerajaan menaikkan kadar duti eksais ke atas produk rokok berkuat kuasa 1 November ini bertujuan mengurangkan prevalens perokok di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar itu menyebabkan harga rokok naik dua sen sebatang.

Menurut beliau, perkembangan itu turut melibatkan kenaikan harga cigars, cheroots dan cigarillos sebanyak RM40 per kilogram manakala produk heated tobacco naik RM20 per kilogram kandungan tembakau.

Perdana Menteri menyatakan demikian ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Pada masa yang sama, kerajaan turut melanjutkan tempoh pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas produk
terapi gantian nikotin dan diperluas kepada produk nicotine mist dan nicotine lozenges sehingga 31 Disember 2027.

Ujar beliau, kerajaan juga bersetuju supaya kadar duti eksais bagi produk minuman keras dinaikkan sebanyak 10 peratus mulai 1 November ini.

Ia bagi mengurangkan akses kepada minuman beralkohol dan menggalakkan gaya hidup lebih sihat.

Ujarnya, hasil tambahan daripada rokok dan minuman keras akan diagihkan kepada Kementerian Kesihatan antaranya untuk Inisiatif Kesihatan Paru-Paru KKM serta bagi rawatan diabetes dan penyakit jantung.

Antara cadangan yang dikemukakan, perbelanjaan pemvaksinan yang layak mendapat pelepasan cukai pendapatan individu diperluas meliputi semua jenis vaksin yang didaftar dan diluluskan oleh KKM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast