KUALA LUMPUR – Global Peace Mission (GPM) mengusulkan agar Kementerian Luar Negeri untuk mengaktifkan kembali platform Ops Ihsan sebagai wadah penyelarasan rasmi bagi semua badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia yang terlibat dalam misi bantuan ke Gaza.

Presidennya, Mohd Khairul Anwar Ismail berkata, Wisma Putra selaku penyelaras utama Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) perlu melaksanakan langkah tersebut bagi menyatukan sumber, tenaga dan kepakaran di bawah satu mekanisme bersepadu.

Ia juga bagi menjamin ketelusan serta akauntabiliti dalam pengurusan dana dan penghantaran bantuan, mengelakkan pertindihan logistik serta mempercepatkan penghantaran bantuan melalui saluran diplomatik sedia ada.

Dalam masa yang sama, GPM turut mencadangkan agar kerajaan Malaysia segera menghantar bekalan ubat-ubatan dan bantuan kecemasan melalui penerbangan kargo khas.

“Madani Humanitarian Hub (MHH) juga boleh ditubuhkan di Mesir, sebagai pusat logistik, penyimpanan dan koordinasi bersama semua NGO Malaysia serta rakan antarabangsa bagi tempoh sekurang-kurangnya dua tahun.

“Kedua-dua langkah ini boleh dilaksanakan dengan menggunakan dana sedia ada di bawah AAKRP dengan mekanisme pelaporan bersama antara kerajaan dan masyarakat sivil bagi memastikan ketelusan dan keberkesanan maksimum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairul Anwar menambah, keistimewaan Malaysia dalam memperjuangkan nasib Palestin terletak pada sifatnya yang inklusif dan menyeluruh.

Jelas beliau, pembelaan Malaysia terhadap rakyat Palestin tidak hanya digerakkan oleh kerajaan tetapi turut melibatkan NGO kemanusiaan, pertubuhan masyarakat sivil, institusi agama, badan advokasi, komuniti pendidikan, serta inisiatif undang-undang dan perundangan antarabangsa.

Kesatuan ini menurut beliau, menjadikan Malaysia antara negara paling konsisten dalam mempertahankan Palestin bukan sahaja di pentas diplomasi, tetapi juga di medan kemanusiaan dan kesedaran awam.

Menurut beliau, GPM sendiri telah menyalurkan lebih RM3.5 juta dalam bentuk bantuan kemanusiaan secara langsung kepada rakyat Gaza hasil sumbangan rakyat Malaysia.

Bantuan tersebut merangkumi bekalan ubat-ubatan, makanan asas, air bersih, peralatan kesihatan serta sokongan kepada anak-anak dan keluarga yang kehilangan tempat tinggal. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast