Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri melancarkan kempen talian kasih 'Awak Ok Tak?' pada Majlis Perasmian Larian Kasih Fun Run KPWKM di Dataran DBKL, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 12 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR – Talian bantuan, Talian Kasih 15999 menerima lebih 50,000 panggila sehingga September tahun ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata, pertanyaan yang sering ditanya oleh pemanggil dan yang tertinggi adalah mengenai status bantuan kebajikan kepada masyaraakt.

“Yang tertinggi lebih kepada bertanya tentang bantuan kebajikan dia. Apa status dia, boleh mohon macam mana prosedur dan juga status permohonan seperti OKU bagaimana dia mohon.

“Ada juga pasal warga emas, pengabaian. Ada juga keganasan rumah tangga. Itulah pecahannya. Jadi yang tertinggi itu kebajikan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas merasmikan aliran Kasih Fun Run KPWKM di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri KPWKM, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Sementara itu, Nancy berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut melancarkan kempen ‘Awak Ok Tak?’ yang akan menjadi seruan kepada masyarakat untuk belajar bertanya dan mendengar.

Jelasnya, kempen ‘Awak Ok Tak?’ ini adalah langkah pertama untuk membolehkan seseorang itu merasakan mereka dilihat dan disayangi.

“Soalan yang nampak kecil, tetapi maknanya besar.

“Jika anda nampak rakan, jiran atau ahli keluarga yang kelihatan tidak gembira, luangkan masa dan tanya “Awak Ok tak?” — mungkin itu satu-satunya soalan yang mereka perlukan hari itu,” katanya.

Talian yang beroperasi 24 jam sehari membolehkan orang ramai menghubungi, menghantar mesej WhatsApp ke 019-26 15999 atau menggunakan aplikasi mudah alih untuk mendapatkan bantuan segera seperti kaunseling, perlindungan, bimbingan sosial remaja dan perkhidmatan reproduktif.

Selain itu, kempen akan disokong oleh jabatan dan agensi di bawah KPWKM yang memainkan peranan besar dalam kesejahteraan sosial masyarakat.

Pada 2024, sebanyak 59,065 panggilan diterima oleh talian berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast