Pasangan suami isteri yang juga merupakan dua anggota sukarelawan Malaysia yang menyertai misi bantuan kemanusiaan Freedom Flotila Coalition (FCC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) Dr Fauziah Hassan (kiri) dan Prof Emiritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali (tengah) sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1. Foto MOHD ADZLAN, 12 OKTOBER 2025.

SEPANG – Kesemua 145 peserta termasuk sembilan delegasi Malaysia menyertai Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) bukan untuk menjadi hero dan ‘pergi mati’ di Palestin.

Salah seorang delegasinya, Dr Fauziah Hassan berkata, sebaliknya mereka mahu menunjukkan kepada dunia yang bantuan perubatan boleh dilakukan para sukarelawan dari Malaysia.

“Alhamdulillah, kita pergi bukan menjadi hero bukan untuk ‘pergi mati’. Kita hanya pergi untuk menunjukkan kepada dunia bahawa inilah usaha yang paling kecil kita boleh laksanakan.

“Lakukan untuk menunjukkan kepada dunia tentang kejahatan, tentang kezaliman Israel,” katanya pada sidang media di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Pasangan suami isteri yang juga merupakan dua anggota sukarelawan Malaysia yang menyertai misi bantuan kemanusiaan Freedom Flotila Coalition (FCC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) Dr Fauziah Hassan (kiri) dan Prof Emiritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali (tengah) sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1. Foto MOHD ADZLAN, 12 OKTOBER 2025.

Terdahulu kesemua sembilan delegasi Malaysia dalam misi kemanusiaan FFCxTMTG yang menaiki penerbangan Saudi SV0834 selamat tiba di Terminal 1, KLIA kira-kira 4 petang tadi.

Lapan aktivis Malaysia yang menaiki kapal Conscience terdiri daripada ketua misi, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.

Dua lagi merupakan pensyarah, Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar manakala kapal Umm Saad pula dinaiki seorang lagi wakil Malaysia iaitu Dr Maziah Muhammad.

Sebagai petugas perubatan, Dr Fauziah akui beliau teringin untuk sampai ke Gaza bagi membolehkan dirinya memberikan bantuan dan rawatan kepada rakyat Palestin yang tercedera dalam serangan bersenjata tentera Israel hampir dua tahun lalu itu.

“Ramai petugas perubatan dibunuh, diseksa dan dimasukkan ke dalam penjara, hospital dimusnahkan dan rawatan-rawatan dilakukan secara minimum sahaja kerana tiada ubatan dan juga tiada peralatan perubatan.

“Oleh itu, kami petugas perubatan sangat teringin untuk sampai ke Gaza supaya dapat menolong sahabat-sahabat kami dan juga adalah tugas kami sebagai seorang doktor untuk menyelamatkan nyawa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast