Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa ke Parlimen esok bagi memberi pencerahan mengenai isu dakwaan pemesongan fakta oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa ketika sesi penerangan di Dewan Rakyat pada minggu lalu.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, kehadirannya susulan daripada pelawaan beberapa ahli Parlimen yang mahu beliau memberi penjelasan.

“Oleh kerana YB Menteri tidak menerima pelawaan saya, saya seterusnya memilih untuk menerima pelawaan ahli Parlimen dan menyampaikan kepada mereka pemesongan fakta yang telah di lakukan oleh menteri.

“Selepas itu,jika perlu dan sesuai, barulah saya berkongsi maklumat dan fakta berkaitan dengan khalayak dan media,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Terdahulu, Annuar telah menulis surat kepada Dr Zaliha pada Khamis lalu untuk bersemuka bagi membuktikan dakwaannya.

Bagamanapun Ahli Parlimen Sekijang itu tidak memberi respon sebaliknya membuat kenyataan menerusi kenyataan di Facebook.

“Beliau tidak membalas surat saya dalam tempoh tiga hari yang saya berikan. Saya berbuat demikian kerana menghormati kedudukan seorang menteri dan saya berhasrat mengemukakan bukti terus kepadanya dan bukan di media sosial,” jelasnya.

Annuar dilaporkan memberi notis kepada Dr Zaliha berhubung dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu bahawa pengambilan tanah Kampung Sungai Baru telah dilakukan secara tergesa-gesa membabitkan tempoh tiga hari pada 2021.

Ia susulan pada sesi penerangan Hala Tuju Pembangunan Kampung Baru di Dewan Rakyat oleh Dr Zaliha yang dipetik sebagai berkata, keputusan berkaitan kelulusan pewartaan membabitkan Kampung Sungai Baru mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) pada 2021.

Menurut Dr Zaliha, keputusan berkenaan dibuat selepas permohonan mengambil alih tanah berkenaan, termasuk kediaman flat dan lot teres, dikemukakan pemaju kepada Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) ketika itu.

Dr Zaliha berkata, kewajaran kelulusan secara tergesa-gesa yang menyebabkan semua tanah terbabit menjadi hak milik pemaju, bagaimanapun perlu diajukan kepada Annuar sebagai Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu.

Kemudian, Annuar yang menyifatkan kenyataan Dr Zaliha sebagai menyeleweng fakta dan fitnah serius.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast