Wan Saiful Wan Jan dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan dipecat daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Selain Wan Saiful, turut dipecat ialah Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail; Ketua Bahagian Ampang, Mohd. Isa Saidi; Ketua Bahagian Pendang, Abdul Razak Khamis dan Ketua Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd. Azrudin Md. Idris.

Sementara itu, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang juga ahli MPT digantung keahlian selama satu penggal.

Dalam kenyataan hari ini, Lembaga Disiplin Bersatu memaklumkan tindakan itu diambil berikutan pelanggaran Perlembagaan dan Tatakelakuan ahli parti.

“Penggantungan itu dibuat berikutan pelanggaran Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu, yang mewajibkan ahli mematuhi perlembagaan parti, kod etika dan tatakelakuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, semua pemimpin berkenaan dipanggil oleh Lembaga Disiplin pada 8 Oktober lalu berhubung beberapa dakwaan, termasuk isu pengumpulan Surat Akuan Bersumpah (SD) untuk menjatuhkan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mereka didakwa terbabit mengumpul SD dalam kalangan Ketua Bahagian Bersatu di seluruh negara bagi mengusulkan perbincangan mengenai langkah transisi kepemimpinan parti kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Kenyataan itu turut memaklumkan ahli yang dijatuhi hukuman disiplin berhak mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan dalam tempoh 14 hari untuk pertimbangan lanjut.

“Lembaga Disiplin telah membuat keputusan berdasarkan siasatan yang telah dijalankan serta pertimbangan yang sewajarnya tanpa campur tangan mana-mana pihak, bebas dan tidak berat sebelah.

“Lembaga Disiplin juga menyeru semua ahli Bersatu supaya mematuhi Perlembagaan serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli demi menjaga nama baik parti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast