GEORGE TOWN – Insiden keganasan yang berulang dalam kalangan pelajar sekolah memberi isyarat sistem pendidikan dan sosial negara sedang berdepan krisis, kata Ketua Pergerakan Pemuda Kimma Malaysia, Rais Ahmad Mohamed Hussain.
Beliau berkata, kejadian tragis seperti kes tikaman pelajar hingga maut serta laporan kes rogol bergilir yang berlaku menunjukkan bahawa isu disiplin pelajar tidak boleh lagi dianggap terpencil, sebaliknya memerlukan pendekatan menyeluruh dan tindakan segera oleh kerajaan serta pihak berkuasa.
“Keganasan pelajar tidak hanya mencabuli nilai murni masyarakat, malah memperlihatkan keperluan mendesak untuk menilai semula pendekatan pendidikan yang diguna pakai ketika ini.
“Ini bukan sekadar isu disiplin pelajar tetapi mencerminkan kelemahan dalam sistem yang seharusnya membentuk insan yang berakhlak dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut Rais Ahmad mencadangkan lima langkah yang perlu diberi perhatian segera oleh pihak berwajib, termasuk memperkukuh pendidikan moral dan etika di sekolah.
“Kita gesa kementerian ambil langkah membangunkan kesedaran empati dan hak asasi manusia dalam kalangan pelajar supaya mereka lebih peka terhadap perasaan rakan sebaya dan kesan tindakan sendiri.
“Ketiga, tindakan undang-undang perlu diambil terhadap pelaku keganasan dengan tegas dan telus, tanpa kompromi selain sekolah juga harus menyediakan ruang dialog terbuka supaya pelajar boleh meluahkan kebimbangan dalam suasana yang selamat.
“Selain itu, sokongan psikologi perlu dipertingkatkan dengan menyediakan kaunselor bertauliah di sekolah bagi membantu pelajar yang mengalami tekanan mental atau emosi,” katanya.
Tambah beliau, usaha membendung keganasan pelajar bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa, pendidik dan masyarakat.
“Tanggungjawab kita bersama ialah memastikan sekolah menjadi tempat yang selamat untuk anak-anak belajar dan membesar sekali gus mengelak daripada insiden sama berulang,” katanya. – MalaysiaGazette
















