KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Parlimen kerajaan menggesa hukuman rotan di sekolah dikembalikan semula sebagai langkah mendidik dan membentuk disiplin pelajar.
Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan berkata, hukuman rotan itu bukan bertujuan mendera, sebaliknya untuk membina disiplin para pelajar, sekali gus membendung pelbagai masalah membabitkan akhlak dan moral pelajar termasuk kes buli.
Malah, beliau yang juga bekas guru berkongsi pengalamannya yang pernah merotan ramai pelajar sepanjang kira-kira 30 tahun menjadi guru termasuk guru disiplin.
“Sewaktu saya menjadi guru disiplin bermula pada 1987 sehinggalah saya bersara, hukuman rotan dijalankan di dalam bilik pengetua.
“Saya sudah merotan ramai pelajar dan tidak pernah ada pelajar atau ibu bapa yang mengambil tindakan terhadap saya.
“Sebab tindakan rotan itu diambil dengan cara berhikmah iaitu sebelum kita merotan, kita jelaskan dan berikan kaunseling kepada pelajar terlibat supaya mereka sedar kesalahan dilakukan,” katanya dalam sesi perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Aminolhuda berkata, kerajaan tidak boleh menutup mata terhadap krisis moral yang sedang melanda anak-anak di sekolah ketika ini yang mana kes-kes seperti buli, bunuh dan rogol menunjukkan betapa seriusnya cabaran akhlak dalam kalangan pelajar ketika ini.
Menurut beliau, dalam semangat membina geneasi masa depan, pendidikan bukan sekadar soal akademik semata-mata, tetapi juga merupakan soal pembentukan akhlak, sahsiah dan disiplin.
Tegasnya, sekolah mesti kembali menjadi tempat membentuk manusia, bukan sekadar melahirkan pelajar yang hanya pandai menjawab soalan dalam peperiksaan.
“Sehubungan itu, saya mencadangkan agar kerajaan menilai semula pelaksanaan hukuman rotan berdisplin di sekolah-sekolah dengan garis panduan yang jelas dan berprinsipkan untuk mendidik, bukan mendera,” katanya. – MalaysiaGazette
















