PUTRAJAYA – Pendekatan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan Madani bersifat realistik dan berpaksikan kepentingan rakyat, bukan berasaskan teori ekonomi yang hanya cantik di atas kertas tetapi membebankan rakyat bawahan, jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, kerajaan tidak mahu mengejar angka hasil semata-mata jika pelaksanaannya menyebabkan rakyat terbeban dan menanggung kesan ekonomi yang berat.
“Kalau cadangan awal semua naik harga dan bantu sebahagiannya, kita mungkin boleh dapat RM8 bilion. Sekarang mungkin RM2.5 bilion, tak apalah.
“Kita nak dapat hasil banyak, rakyat terbeban buat apa? Ini bukan ekonomi teori atas langit, ini ekonomi yang menyentuh kedudukan rakyat,” kata Anwar ketika berucap dalam Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan Bersama Perdana Menteri dan Menteri Kewangan bagi Bulan Oktober 2025 di Kementerian Kewangan, hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri itu berkata, prinsip keseimbangan dalam dasar fiskal amat penting bagi memastikan pengurusan ekonomi negara kekal stabil tanpa mengorbankan kebajikan rakyat.
“Hutang jangan bertambah, hutang kurang, defisit kurang daripada 5.6 peratus kepada 3.8 peratus, itu sudah drastik. Tapi kalau terlalu drastik, ia indah sebagai teori ekonomi, parah bagi rakyat,” katanya.
Anwar turut menjelaskan bahawa langkah kerajaan mengurangkan hutang dan defisit secara berperingkat perlu dilihat sebagai strategi mampan yang mengambil kira keperluan semasa, termasuk perbelanjaan untuk pendidikan, kesihatan dan bantuan rakyat seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Katanya, setiap keputusan ekonomi mesti menyeimbangkan antara tanggungjawab fiskal dan kesejahteraan rakyat, supaya kerajaan tidak terjebak dalam dasar populis atau pendekatan melampau yang menekan ekonomi negara.
“Saya percaya ahli-ahli Parlimen faham, termasuk pembangkang, tetapi mereka terikat dengan politik masing-masing. Dulu mereka hutang, hutang, hutang, sekarang hutang membengkak,” ujarnya.
Perdana Menteri turut menegaskan, kerajaan pimpinannya komited meneruskan dasar pengurusan ekonomi berhemah dengan fokus kepada keberkesanan perbelanjaan dan keadilan sosial, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati oleh semua lapisan rakyat. – MalaysiaGazette
















