Pembentukan generasi yang seimbang dan berakhlak tidak dapat dicapai melalui sistem pendidikan formal semata-mata, tetapi memerlukan pembinaan akar yang kukuh menerusi institusi keluarga. Gambar hiasan

SABAN minggu negara dikejutkan dengan berita murid membuli, remaja merogol rakan sekelas, dan bahkan kes ngeri, pelajar membunuh pelajar. Setiap kali tragedi sebegini berlaku, masyarakat berpaling kepada Menteri Pendidikan, menuntut jawapan, memaki kelemahan sistem, dan menuding jari kepada sekolah.

Namun, persoalannya adakah Menteri yang tinggal sebumbung dengan anak-anak ini? Adakah sekolah yang menidurkan mereka, memberi telefon tanpa batas, atau menonton bersama mereka kandungan tidak senonoh di media sosial?

Realitinya, kerosakan moral bukan bermula di sekolah. Ia bermula dari rumah. Di ruang tamu yang sunyi tanpa suara kasih. Di meja makan yang kini sepi tanpa doa dan perbualan ibu ayah.

Di bilik tidur yang gelap, di mana anak-anak membesar bertemankan skrin dan dunia maya tanpa bimbingan. Maka sebelum jari kita menghala ke kementerian, seharusnya kita tunduk sebentar, menunding ke dada sendiri.

Rumah Yang Tidak Lagi Menjadi Sekolah Jiwa

Dahulu, rumah adalah ‘madrasah,’ ibu menjadi ‘muallimah’ pertama, ayah menjadi ‘qiyadah’ yang mendisiplinkan dengan kasih penuh hikmah. Anak-anak belajar adab sebelum ilmu, belajar minta izin sebelum bercakap, belajar menghormati sebelum menyoal.

Kini, rumah penuh gajet, tetapi kosong kasih. Penuh suara tawa TikTok, tetapi tiada suara ayah yang menegur atau ibu yang menasihati.

Anak-anak belajar daripada algoritma, bukan akhlak. Mereka lebih percaya ‘influencer’ di YouTube berbanding ibu bapa yang sebenar. Maka jangan hairan bila lahir generasi yang tahu mengulas isu sosial di media tetapi gagal mengawal emosi sendiri.

Mereka boleh berdebat tentang ‘mental health’ tetapi tidak tahu bagaimana meminta maaf. Mereka pandai meluah di media sosial, namun tidak pandai menatap wajah ibu ketika bersalah.

Masalah sosial pelajar hari ini bukan hanya akibat ‘sistem pendidikan yang gagal,’ tetapi ialah kegagalan kolektif ibu bapa, masyarakat, dan negara yang membiarkan pendidikan akhlak terpinggir daripada keutamaan.

Sekolah Tidak Dicipta Untuk Menjadi Rumah Kedua Tanpa Rumah Pertama

Ramai ibu bapa kini menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik kepada sekolah. “Cikgu tolong ajar anak saya sopan.” “Sekolah kena ajar anak saya jaga mulut.” Namun, sekolah bukan tempat ‘magis’ yang mampu menukar akhlak dalam seminggu. Guru bukan malaikat.

Mereka manusia yang sedang berjuang menguruskan puluhan pelajar dengan latar belakang berbeza, dalam sistem yang menuntut keputusan akademik lebih tinggi daripada nilai kemanusiaan.

Sekolah seharusnya menjadi pelengkap kepada pendidikan di rumah, bukan pengganti. Kalau anak tiada asas hormat, tiada kemahiran mengawal emosi, tiada empati terhadap orang lain, maka ilmu yang diajar hanya akan membentuk kebijaksanaan tanpa jiwa.

Dan inilah yang sedang berlaku iaitu anak-anak cemerlang akademik tetapi gagal berempati. Mereka bijak mengira markah, tetapi tidak tahu mencongak hati manusia.

Ada banyak tangan yang membentuk peribadi anak antaranya tangan ibu bapa yang membelai atau memukul, tangan guru yang menulis di papan putih dengan sabar, tangan masyarakat yang menilai dan menghukum, serta tangan media yang menanam nilai.

Sedarkah kita, hari ini, terlalu banyak tangan yang lepas tangan?

Media sosial tidak lagi mendidik, tetapi menormalisasi keganasan dan seks bebas. Filem, drama dan kandungan digital memperlihatkan jenayah sebagai hiburan, curang sebagai biasa, dan maksiat sebagai gaya hidup. Ketika anak-anak meniru, siapa yang patut dipersalahkan?

Pendidikan moral tidak cukup jika dikhianati oleh tontonan, dan disiplin sekolah tidak mampu bertahan jika dirosakkan oleh suasana rumah yang tidak stabil. Maka peranan ‘tangan-tangan ghaib’ inilah yang perlu diinsafi, kerana membentuk manusia bukan tugas seorang, tetapi tanggungjawab semua.

Bukan Marah yang Kita Perlukan, Tapi Muafakat Baharu Pendidikan

Menteri bukan Tuhan. Beliau tidak mampu menyembuhkan semua luka dengan satu dasar. Namun, dasar akan jadi hidup jika rakyat menjadi pelaksana. Justeru, penyelesaian isu sosial pelajar memerlukan perubahan dari bawah iaitu  dari ibu bapa, komuniti, dan sistem nilai masyarakat itu sendiri.

Kita perlu membina semula muafakat baharu pendidikan, yang berasaskan tiga tiang utama antaranya,

1. Rumah sebagai tapak akhlak. Ibu bapa mesti kembali berfungsi sebagai pendidik utama. Luangkan masa, bukan sekadar wang. Dengarkan anak sebelum menilai, temankan mereka sebelum mereka mencari teman luar.

2. Sekolah sebagai penyubur jiwa. Guru perlu diberikan ruang dan kepercayaan untuk menanam nilai, bukan sekadar mengejar markah. Jadual padat perlu disusun semula agar wujud masa untuk aktiviti emosi, spiritual dan sosial.

3. Masyarakat sebagai penjaga persekitaran. Kita perlu mencipta suasana yang membina umpanya, dari masjid ke media, dari jalanan ke media sosial. Jangan biar anak-anak tumbuh dalam budaya mengejek, mengutuk dan menormalisasi dosa.

Anak-Anak Kita Sedang Menjerit Dalam Diam

Di sebalik buli dan jenayah pelajar, tersimpan jiwa yang kosong. Banyak yang sebenarnya tidak jahat, tetapi kehilangan arah. Mereka mencari perhatian, kasih, dan tempat untuk didengari. Bila tiada siapa peduli, mereka mencipta perhatian dengan cara yang salah.

“Saya bukan suka buat masalah, tapi bila saya baik pun, tak ada siapa peduli.”

Inilah realiti. Kita menghukum sebelum memahami. Kita menuduh ‘nakal,’ degil,’ ‘biadab’ tanpa menyoal, apakah yang mereka alami di rumah, di media sosial, atau di hati mereka. Sedangkan, pendidikan sebenar ialah seni memahami manusia.

Nabi Muhammad SAW mengajar dengan kasih, bukan amarah. Baginda menegur dengan hikmah, bukan penghinaan. Baginda mendidik jiwa, bukan hanya peraturan. Jika umat Islam benar-benar mencontohi Baginda, maka sistem pendidikan kita akan kembali berjiwa.

Kita hidup di zaman yang paradoks, anak-anak tahu guna AI tetapi tidak tahu menyapa jiran. Mereka mampu mencipta video viral, tetapi tidak mampu menatap mata ketika bercakap. Teknologi yang sepatutnya memudahkan pembelajaran kini menjerat mereka dalam budaya ‘instant gratification,’ iaitu serba cepat, serba palsu.

Justeru, ibu bapa perlu celik digital, bukan hanya pandai guna WhatsApp. Ketahuilah bahawa algoritma lebih laju mendidik anak berbanding nasihat kita sendiri.

Maka pantau kandungan, wujudkan ‘digital boundary,’ dan jangan malu menjadi ibu bapa yang tegas dalam era tanpa sempadan. Kasih bukan bererti memberi semua yang anak mahu, tapi memberi apa yang mereka perlu.

Guru: Antara Harapan dan Tekanan

Guru kini terperangkap antara idealisme dan realiti. Mereka ingin membentuk akhlak, tapi dibebani borang, KPI dan sistem peperiksaan yang menjerut masa.

Setiap hari mereka menanggung tekanan, diherdik ibu bapa, diawasi pentadbiran, dan dikritik masyarakat. Sedangkan merekalah benteng terakhir melindungi anak bangsa dari gelombang keruntuhan moral.

Kita perlu kembali memuliakan guru, bukan dengan slogan tetapi dengan tindakan. Kurangkan beban pentadbiran, naikkan martabat kerjaya mereka, dan libatkan guru dalam merancang dasar pendidikan.

Guru yang dihargai akan mendidik dengan jiwa, bukan dengan terpaksa. Mereka tidak perlu menjadi wira, cukup menjadi insan yang tidak lagi diserang oleh sistem.

Pendidikan Masyarakat bukan sekadar ceramah atau program motivasi. Ia adalah gerakan membina kesedaran sosial, yang bermula di akar umbi. Setiap kampung, taman, surau, dan komuniti perlu mempunyai ekosistem pendidikan nilai, di mana ibu bapa dibimbing, remaja disantuni, dan masyarakat saling menegur dengan hikmah.

Bayangkan jika setiap komuniti ada mentor remaja, program ibu bapa celik emosi, kelas digital beretika, dan forum terbuka yang tidak menghukum tetapi membimbing. Itulah ‘pendidikan masyarakat’ yang sebenar, bukan menunggu kementerian, tetapi memulakan langkah kecil di lokaliti sendiri.

Akhirnya, Soalan Ini Kembali Kepada Kita

Ketika kita marah kepada Menteri, tanyalah kepada diri, sudahkah kita menjadi menteri di rumah sendiri? Ketika kita kecewa dengan sekolah, tanyalah, sudahkah rumah kita menjadi sekolah yang hidup? Ketika kita menyalahkan anak, tanyalah, sudahkah kita memberi teladan yang baik?

Negara tidak akan berjaya membina bangsa berakhlak jika kita terus mencari ‘kambing hitam’ setiap kali masalah muncul. Pendidikan bukan tanggungjawab kementerian semata-mata, tetapi amanah seluruh umat.

Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah ar-Ra’d: 11)

Perubahan bermula bukan di Parlimen, tetapi di ruang tamu rumah kita.

Jadilah Masyarakat yang Bijak, Bukan Menyalahkan

Negara kini sedang sakit bukan kerana tiada dasar, tetapi kerana hilangnya empati dan rasa tanggungjawab bersama. Kita telah menukar makna mendidik menjadi mengawal, dan makna kasih menjadi memberi kemudahan.

Sudah tiba masanya kita berhenti menuding, dan mula menunduk, muhasabah. Mulakan semula pendidikan dari rumah. Bina semula nilai dalam masyarakat.

Berhenti bertanya “kenapa Menteri tidak buat apa-apa”, dan mulalah bertanya “apa yang aku boleh buat hari ini untuk anak bangsa?”

Kerana bangsa yang besar tidak dibina oleh dasar semata, tetapi oleh manusia yang berjiwa besar, yang tahu bahawa setiap anak adalah amanah Tuhan, bukan tanggungjawab orang lain!

————-

Atriza Umar

Calon Ijazah Kedoktoran Kepimpinan Wanita

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast