Temubual Podcast MG bersama Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad di Pejabat Malaysia Gazette, Jalan Sri Permaisuri, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 06 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Semua pihak harus mengakui pendidikan negara ini ‘sedang tenat’ dan tindakan segera harus diambil.

Sehubungan itu, Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM) Dr Anuar Ahmad berkata, kerajaan mesti membina kembali kepercayaan rakyat pada sistem pendidikan negara.

Menurutnya, ramai ibu bapa semakin bimbang keselamatan anak-anak mereka di sekolah.

Murid-murid pula semakin takut untuk pergi sekolah.

“Ini sudah kes buli, rogol dan bunuh. Ini jenayah berat dalam kawasan sekolah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Oleh itu, kerajaan mesti ada solusi jangka pendek dan panjang kerana permasalahan yang berlaku bukan lagi salah laku kecil.

“Bukan lagi setakat murid bising dalam kelas atau murid tak siapkan kerja rumah

“Ini kes buli, r*gol dan bunuh. Ini jenayah berat dalam kawasan sekolah,” tambah beliau.
Berikutan itu, beliau menggariskan beberapa solusi jangka pendek dan panjang yang harus disegerakan.

Untuk jangka pendek, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di semua sekolah harus disgerakan selain mengenal pasti ibu bapa dan murid berisiko salah laku untuk hadir sesi kaunseling oleh kaunselor bertauliah.

Sekolah juga harus melaksanakan audit keselamatan, katanya.

Bagi solusi jangka panjang, beberapa penekanan perlu dipertimbang seperti memperkasakaan penglibatan ibu bapa di sekolah termasuk mengutamakan pendidikan keselamatan, kesihatan dan sahsiah.

Ia harus bermula dari sekolah rendah. Setiap sekolah juga harus menempatkan kaunselor bertauliah dalam nisbah 1 guru, 250 murid.

“Penguatkuasaan tindakan tatatertib juga harus dipertingkatkan kepada mana-mana pihak pentadbir pendidikan di semua peringkat yang didapati menyembunyikan kes salah laku murid dan guru,” katanya lagi.

Jelasnya, apabila salah laku sudah luar biasa, penyelesaiannya juga haruslah luar biasa.

Terdahulu, negara digemparkan dengan pelbagai insiden antaranya buli, rogol dan terkini bunuh dalam kalangan murid sekolah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast