KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Isham Jalil mempersoalkan perbelanjaan besar kerajaan yang didakwa melibatkan RM600 juta bagi kerja baik pulih bangunan bersejarah Carcosa di ibu negara.
Menurutnya, jumlah tersebut terlalu besar dan menimbulkan persoalan mengenai sumber dana yang digunakan untuk tujuan itu.
“Saya baru buka Facebook dan baru perasan ini: RM600 juta untuk baik pulih Carcosa?..” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Isham berkata, peruntukan sebanyak RM600 juta itu merupakan jumlah yang sangat tinggi dan tidak sepadan dengan tujuan baik pulih semata-mata.
Justeru beliau mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempertahankan keputusan Khazanah Nasional Berhad melabur RM600 juta bagi kerja-kerja baik pulih dan pemuliharaan Carcosa Seri Negara.
“RM600 juta itu lebih separuh daripada RM1 bilion, Anwar. Ini bukan RM6 juta, bukan RM60 juta. Ia RM600 juta. RM600,000,000.00,” tegasnya.
Beliau turut menyoal peranan Khazanah Nasional Berhad yang dikatakan akan melaksanakan projek tersebut sama ada menggunakan dana sendiri atau pinjaman.
“Khazanah melabur guna duit atau hutang siapa? Siapa yang akan bayar hutang ‘pelaburan’ ini?” soalnya lagi.
Isham menyifatkan perbelanjaan sedemikian perlu disemak semula memandangkan negara kini berdepan dengan cabaran ekonomi dan tekanan kos sara hidup rakyat.
Katanya, kerajaan wajar mendahulukan projek yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Anwar hari ini berkata, kerajaan memperuntuk RM600 juta adalah satu langkah pelaburan strategik dalam memelihara sejarah dan warisan negara, bukannya bersifat kebajikan.
Menurut beliau, pemuliharaan Carcosa Seri Negara juga bukan soal bermewah atau pembaziran tetapi satu tanggungjawab sosial syarikat milik negara untuk memastikan bangunan bersejarah itu kekal sebagai simbol kemerdekaan dan menjadi kebanggaan serta identiti Malaysia.
Selain itu, Carcosa Seri Negara yang bakal berwajah baharu juga akan menarik perhatian pelancong di samping meningkatkan nilai di kawasan sekitarnya. – MalaysiaGazette
















