Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

KUALA LUMPUR – Ibu bapa perlu memastikan anak mereka tidak mempunyai gejala
influenza seperti demam, selesema dan batuk sebelum menghantar anak ke sekolah bagi mengekang penularan virus penyakit itu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sekiranya anak bergejala, ibu bapa dinasihatkan tidak menghantar anak ke sekolah dan segera
mendapatkan rawatan.

Menurut beliau, ibu bapa dinasihatkan memantau keadaan anak yang mempunyai gejala influenza dan sekiranya gejala bertambah teruk, pelajar disaran mendapatkan rawatan ulangan dengan segera bagi mencegah berlakunya komplikasi.

“Kebanyakan individu yang dijangkiti oleh virus influenza akan sembuh sepenuhnya dalam tempoh seminggu. Namun begitu, golongan berisiko tinggi, seperti kanak-kanak, warga emas, dan individu dengan penyakit kronik, berisiko mendapat jangkitan yang lebih teruk.

“Komplikasi serius ini termasuk radang paru-paru (pneumonia) dan radang otak
(encephalopathy) yang boleh mengakibatkan sakit yang teruk (morbiditi) atau kematian,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan setakat mana keseriusan kes influenza di seluruh negara serta kesan kepada institusi pendidikan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Dzulkefly menambah, secara keseluruhan, bilangan kluster jangkitan di institusi
pendidikan meningkat daripada lapan pada Minggu Epidemiologi (ME) 39 kepada 111 pada ME 40 sebelum mencapai 202 kluster pada ME 41.

Jelas beliau, pada minggu ini iaitu pada ME 42, bilangan kluster adalah 56 dan dijangka menunjukkan tren penurunan.

“Sekolah menengah mencatatkan bilangan kluster tertinggi meningkat daripada satu pada ME 39 kepada 47 pada ME 40 dan mencapai 65 pada ME 41.

“Sekolah Rendah menunjukkan pola yang sama dengan kluster meningkat daripada tiga pada ME 39 kepada 26 pada ME 40 dan mencecah 72 pada ME 41.

“Institusi lain seperti kolej vokasional, sekolah swasta dan taska turut mencatatkan peningkatan kluster dalam tempoh yang sama,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast