NIBONG TEBAL – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) membongkar kegiatan kutipan derma khairat oleh warga asing di pasar malam dan pasar raya seluruh negeri yang menggunakan surat kebenaran palsu kononnya ditandatangani Pengarah JHEAIPP.
Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAIPP, Muhamad Helmi Rosley berkata, risikan selama sebulan membawa kepada tangkapan seorang lelaki bukan warganegara berusia 39 tahun, kira-kira jam 8 malam tadi di sebuah masjid di Kampung Kepala Gajah, Simpang Ampat di sini.
Katanya, tangkapan itu dibuat selepas pihaknya menerima aduan daripada pejabat agama serta aduan awam yang disalurkan melalui Facebook.
“Hasil siasatan mendapati, modus operandi suspek mempamerkan surat palsu yang mengandungi kepala suratjabatan dan ditandatangani Pengarah JHEAIPP bagi meyakinkan orang ramai untuk menderma.
“Siasatan juga mendapati purata kutipan sehari cecah RM150 hingga RM250 dan mereka aktif kira-kira dua bulan lalu.

“Berdasarkan hasil kutipan, kita tidak menolak kemungkinan lebih daripada tiga orang menjalankan kutipan khairat dan mereka ini didalangi sindiket. Kita juga masih menjalankan siasatan hasil kutipan disalurkan ke mana,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Tambah beliau, suspek akan didakwa di Mahkamah Syariah Tinggi Pulau Pinang esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 106 (5) yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengulas lanjut Muhamad Helmi berkata, sebarang aktiviti kutipan derma bagi tujuan kebajikan perlu mendapat kebenaran dan kelulusan bertulis daripada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.
“JHEAIPP sentiasa komited dan serius dalam menangani isu kutipan derma, infaq, khairat termasuklah ejen-ejen yang mengutip zakat untuk negeri lain di Pulau Pinang yang berleluasa pada masa ini.
“Ini kerana ia menjejaskan hak mereka yang layak menerima zakat di negeri ini.
“Justeru, JHEAIPP menasihatkan masyarakat agar berhati-hati sebelum menyalurkan sumbangan dan merujuk surat kebenaran dengan pihak jabatan bagi mengelakkan penipuan,” katanya. – MalaysiaGazette
















