KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menubuhkan Jawatankuasa Bebas bagi menyiasat isu tujuh pemain warisan yang digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) atas dakwaan pemalsuan dokumen.
Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram berkata, jawatankuasa itu juga akan menyiasat Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman yang digantung tugas berkuat kuasa serta-merta, hari ini.
“Setiausaha Agung digantung berkuat kuasa hari ini bagi membolehkan jawatankuasa menjalankan tugas mereka di mana ahlinya dilantik oleh FAM.
“Kami mahu siasatan dijalankan secara telus dan biar jawatankuasa tentukan apa yang silap,” katanya dalam sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan, rayuan itu dikemukakan pasukan peguam sebelum tarikh akhir untuk melakukan proses tersebut.
Mohd Yusoff memaklumkan proses rayuan itu dikendalikan pasukan peguam luar negara yang dilantik dan beliau percaya dokumen yang dikemukakan juga dibuat lebih kemas dan teliti.
Sebelum ini, FIFA mendedahkan butiran penuh berhubung keputusan menghukum FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel selepas mendapati wujud ketidakselarasan dalam dokumen asal pendaftaran pemain.
Susulan itu, FIFA mengenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (RM10,000) dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.
FAM dalam kenyataan sebelum ini bagaimanapun memaklumkan bahawa pihaknya mengenal pasti wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen pemain warisan yang dilakukan oleh kakitangan pentadbiran. – MalaysiaGazette
















