KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan menafikan dakwaan beliau telah mengambil alih semula tugas Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) daripada Pengerusinya, P. Prabakaran.
Naib Presiden PKR itu menjelaskan, beliau telah diberi amanat dan tanggungjawab oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan koordinasi dengan membantu Ahli Parlimen Batu itu.
“YB Prabakaran baru jumpa saya dan saya masih kawan dengan dia dan saya masih kerja sama dengan dia.
“Tak ada krisis, kadang-kadang, sebab apa seperti yang perdana menteri katakan, kita ada banyak agensi di bawah kerajaan, banyak kementerian di bawah kerajaan yang menjalankan kerja-kerja bantuan dan penambaikan bagi komuniti India.
“Jadi, untuk buat koordinasi sahaja, saya diberikan amanat, tanggungjawab. Bukan saya ambil alih, bukan saya curi (jawatan),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Rumah Terbuka Deepavali Madani Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di KL Sentral di sini hari ini.
Turut hadir, Anwar dan isteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Sebelum ini, media melaporkan MITRA didakwa bergolak selepas timbul spekluasi Ramanan akan kembali menerajui unit tersebut.
Ahli Parlimen Sungai Buloh itu pernah dilantik sebagai Pengerusi MITRA pada 2023.
Mengulas lanjut Ramanan, beliau turut memberi jaminan Prabakaran masih bekerja sama dengannya untuk memastikan MITRA menjalankan semua aktiviti melibatkan komuniti India secara telus dan mengikut tatakelola.
“Bukan sahaja YB Prabakaran sahaja, semua ahli yang berhormat, anggota pentadbiran, kita bekerja sama.
“Mungkin kadang-kadang kita ada pandangan berbeza. Tetapi, kita semua Kerajaan Perpaduan, Kerajaan Madani,” katanya. – MalaysiaGazette
















