KUALA LUMPUR – Malaysia tidak perlu bimbang bakal ‘dihukum’ Amerika Syarikat susulan kelantangannya dalam memperjuangkan nasib rakyat Gaza dan Palestin yang ditindas Israel, kata seorang penganalisis geopolitik.
Felo Majlis Profesor Negara, Dr Azmi Hassan berpendapat, Amerika Syarikat memahami dasar luar Malaysia yang sejak dahulu sentiasa konsisten dalam membela Palestin.
“Bagi saya Amerika Syarikat memahami (dasar luar Malaysia yang memperjuangkan Palestin), kedutaan mereka di sini sudah pasti memberi laporan yang tidak berat sebelah dalam hal ini.
“Malaysia tidak menyokong Israel bukan kerana kita ada agenda tersembunyi, bukan juga kerana kita mahu menghina atau menghukum Amerika Syarikat. Kelantangan Malaysia adalah kerana apa yang berlaku di Gaza,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, baru-baru ini.

Azmi yang juga seorang Geostrategis menambah, Amerika Syarikat pastinya melihat protes-protes jalanan yang dilakukan di Malaysia lebih ‘lembut’ dan aman berbanding di negara-negara luar seperti United Kingdom, Australia dan Sepanyol.
Selain itu tegasnya, setakat ini tiada negara yang menyokong Palestin telah dihukum Amerika Syarikat dalam apa bentuk sekali pun termasuk dari segi tarif.
Jelas Azmi, Presiden Donald Trump hanya kerap membuat kenyataan ugutan terhadap negara-negara pro-Palestin tanpa mengambil tindakan sebenar dan keras bagi menghentikan sokongan terhadap negara yang dijajah Israel itu.

Sebaliknya, pelaksanaan tarif sebanyak 50 peratus kepada Brazil adalah kerana Trump tidak suka gerakan menyokong bekas Presiden negara itu, Jair Bolsanaro yang dikenakan hukuman.
Senario ini juga dapat dilihat di Jepun yang merupakan salah sebuah negara yang tidak mengiktiraf Palestin kerana menyokong Amerika Syarikat. Malah Jepun juga berada di dalam kumpulan G7.
Namun, Amerika Syarikat tetap mengenakan tarif setinggi 25 peratus bagi kereta Jepun.
Sebagai perbandingan, Amerika Syarikat mengenakan tarif import sebanyak 19 peratus kepada Malaysia mulai 1 Ogos 2025 berbanding 25 peratus yang dikenakan sebelum ini.
“Jadi dalam hal ini, kita mesti mempunyai dasar luar yang tidak berat sebelah dan amat difahami Amerika Syarikat.
“Apa yang penting, kita konsisten dalam menyokong Palestin atas dasar luar yang menekankan isu kemanusiaan. Ia bukan satu isu yang boleh menggugat keselamatan dan ekonomi negara.
“Jika mahu bercakap mengenai kebimbangan atas dasar persepsi, saya fikir, (kita patut risau) apabila terdapat persepsi bahawa Malaysia lebih rapat dengan China berbanding Amerika Syarikat. Namun, itu pun hanya persepsi,” katanya lagi.

Katanya, Anwar yang merupakan pengkritik tegar Israel sejak sekian lama turut berdepan ujian yang rumit dengan lawatan Presiden Donald Trump pada Sidang Kemuncak ASEAN, hujung bulan ini.
Ini terutamanya selepas Amerika Syarikat mengenakan negara-negara ASEAN dengan antara kadar tarif tertinggi di dunia.
Malaysia yang dikenakan levi sebanyak 19 peratus ke atas eksport ke Amerika Syarikat, tidak termasuk levi khusus mengikut sektor.
Amerika Syarikat ialah rakan dagang ketiga terbesar Malaysia serta pasaran ketiga terbesar bagi eksport cip negara itu. -MalaysiaGazette
















