KUALA LUMPUR – Pengenalan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang dijadual bermula pada tahun depan dilihat sebagai langkah berani dan tepat ke arah memupuk Malaysia yang lebih kuat dan bersatu padu.
Ketua Penerangan Pemuda, MCA Neow Choo Seong berkata, PLKN 3.0 adalah lebih daripada sekadar program latihan di mana ia satu usaha pembinaan negara.
Menurutnya, bagi memastikan PLKN 3.0 mencapai potensi sepenuhnya, kerajaan harus memberi keutamaan kepada beberapa bidang penting.
“Ini termasuk penyediaan kemudahan latihan yang moden, selamat dan inklusif untuk semua peserta.
“Selain itu, pastikan juga modul latihan yang digunakan adalah relevan pada masa sekarang, menarik dan berpandangan jauh,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, semua perkara itu penting bagi menangani cabaran kontemporari.
“Kerajaan juga perlu pastikan mengambil jurulatih berpengalaman dan profesional yang mampu memberi inspirasi dan bimbingan kepada belia.
“Paling utama, kebajikan dan keselamatan para peserta mesti kekal menjadi keutamaan paling tinggi,” katanya.
Choo Seong menambah, dengan persekitaran yang tersusun ia sekali gus akan memperkasakan anak muda Malaysia untuk melahirkan pemimpin masa depan yang menjunjung tinggi cita-cita perpaduan, daya tahan, dan perkhidmatan kepada negara.
“Saya menyeru kepada belia yang akan menyertai perjalanan transformatif ini agar merebut peluang tersebut.
“Dengan persahabatan yang terjalin, pelajaran serta nilai-nilai yang dipegang teguh akan membentuk peribadi mereka dan mengukuhkan masa depan Malaysia,” katanya.
Tambahnya, dengan sasaran 100,000 peserta termasuk 70 peratus daripada institusi pengajian tinggi, PLKN 3.0 berpotensi besar untuk menyemai disiplin, memperdalam semangat patriotisme, dan mengukuhkan ikatan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.
“Pada ketika semangat perpaduan nasional dan perkongsian identiti semakin penting, PLKN 3.0 adalah pemangkin penting.
“Ia mampu membentuk satu generasi yang benar-benar menjelmakan semangat rakyat Malaysia yang bersatu oleh nilai-nilai bersama, hormat menghormati dan aspirasi dikongsi bersama,” katanya.
Jelasnya, Pemuda MCA turut menyambut baik penyertaan 30 peratus daripada orang awam melalui rejimen Askar Wataniah.
“Langkah ini bukan sahaja meluaskan jangkauan program tersebut, tetapi juga menggalakkan penglibatan masyarakat yang lebih besar dalam pasukan simpanan Tentera Darat Malaysia.
“Pendekatan inklusif ini bukan sahaja mempromosikan tanggungjawab sivik dalam kalangan warganegara tetapi menyumbang secara langsung kepada peningkatan kesiapsiagaan dan daya tahan pertahanan negara,” katanya. -MalaysiaGazette
















