Foto: FB Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli menyifatkan adalah lebih baik pembangkang memperbetulkan dahulu gabungan sedia ada sebelum membentuk gabungan baharu.

Mengulas mengenai inisiatif Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), Rafizi turut mempersoalkan siapa yang bertindak sebagai ketua dalam inisiatif yang menggabungkan 11 parti di luar blok kerajaan tersebut.

Malah beliau yang juga bekas Menteri Ekonomi turut mempersoalkan singkatan IPR yang digunakan bagi gabungan parti politik itu yang sama dengan singkatan Inisiatif Pendapatan Rakyat.

“Macam-macam versi IPR sekarang.

“Tak gimik lah macam ni, tapi pening juga tengok gabungan dalam gabungan.

“Tan Sri Muhyiddin lancar Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), sama pula singkatan dengan Inisiatif Pendapatan Rakyat yang dulu mereka perli. Macam tak semak dulu, Google pun tak buka.

“Sekarang siap ada gabungan atas gabungan. Entah siapa ketuai siapa pun dah susah nak bezakan.

“Baik betulkan rumah lama dulu sebelum nak tambah bumbung baru,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, sebanyak 11 parti politik di luar blok kerajaan dalam satu mesyuarat meja bulat sepakat menamakan gabungan mereka sebagai Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) dengan tema perjuangan ‘Selamatkan Malaysia’.

Antara pemimpin yang terlibat dalam gabungan IPR itu ialah Muhyiddin selaku Presiden Bersatu; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P. Punithan dan Presiden Parti Berjasa (Berjasa), Zamani Ibrahim.

Turut serta ialah Presiden Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali; Pemangku Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abdul Aziz.

Pemimpin lain termasuk Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP), P Waytha Moorthy; Pemangku Presiden Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Datuk Mohd Ismail Mohd Ibrahim dan Pengerusi Interim Parti Bersepakat Untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P. Ramasamy.

Minggu lalu, IPR mengadakan sidang meja bulat pertama mereka yang antara lain membincangkan mengenai Belanjawan 2026; Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA); perkembangan genosid di bumi Gaza, Palestin;  keselamatan anak-anak di sekolah dan Akta Perolehan Kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast