SEPANG – Seramai 2,000 kakitangan dan anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) kini bersiap siaga untuk bertugas di KLIA Terminal 1 sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihaknya akan memainkan peranan untuk memudahkan pergerakan keluar masuk pemimpin tertinggi dan pegawai kerajaan delegasi negara luar yang sudah bermula hari ini.
Menurut beliau, cuti semua kakitangan dan anggota agensi turut dibekukan sehingga sidang kemuncak itu selesai sehingga 29 Oktober ini.
“Untuk AKPS yang menjaga pintu masuk, kita akan mengambil makluman daripada Kementerian Luar Negara akan ketibaan pegawai mahu pun ketua kerajaan atau ketua negeri.
“Mereka akan dipermudahkan kemasukan dan AKPS hanya buat pelepasan imigresen sahaja di pintu masuk.
“Jadi kekuatan kami di sini bercampur dengan Kastam yang baru kita ambil pada 1 Oktober yang lalu menjangkau hampir 2,000 yang mana hari ini saya dimaklumkan ada dua ketua delegasi sudah tiba iaitu Sweden dan Republic of Korea,” katanya pada sidang media di KLIA Terminal 1, di sini, hari ini.
Mohd. Shuhaily menambah, AKPS hanya bertanggungjawab keluar dan masuk delegasi di KLIA Terminal 1 sahaja dan ia tidak membabitkan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang walaupun terdapat ketibaan di sana.
Beliau berharap masyarakat agar tidak keliru dengan peranan AKPS yang menjaga pintu masuk negara di mana isu keselamatan adalah di bawah pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
Sementara itu, Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 akan bermula dengan mesyuarat peringkat menteri yang dijadual esok dan 25 Oktober, sebelum sidang kemuncak berlangsung pada 26 hingga 28 Oktober ini melibatkan ketua negara ASEAN serta pemimpin negara rakan dialog.
Selain pemimpin ASEAN, lebih 20 pemimpin dunia dijadual menghadiri sidang kemuncak itu termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump; Perdana Menteri China, Li Qiang; Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva; Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa; Presiden Kesatuan Eropah, Antonio Costa dan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi.
Ini kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN sejak penubuhan blok serantau itu pada 1967 selepas 2015, 2005, 1997 dan 1977.
Filipina akan mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN daripada Malaysia pada 2026. – MalaysiaGazette
















