Prosiding pertuduhan terhadap Phra Phumin mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan di Mahkamah Pulau Pinang ditangguhkan hari ini.

GEORGE TOWN – Mahkamah Sesyen Jenayah 1 di sini hari ini menangguhkan prosiding pertuduhan terhadap seorang sami warga Thailand yang berdepan pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki menggunakan senjata untuk lantikan jurubahasa Thailand.

Hakim Juraidah Abbas membuat keputusan itu selepas mahkamah dimaklumkan tertuduh, Phra Phumin, 63, hanya memahami bahasa Thai.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 November depan untuk sebutan semula kes bagi tujuan penyediaan khidmat jurubahasa Thailand.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal dan beliau tidak menawarkan jaminan.

Phra Phumin berdepan pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun menggunakan senjata di Kampung Kebun Sireh, Jalan Raja Gopal di sini, jam 5.30 petang pada 21 Oktober lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, serta boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

MalaysiaGazette difahamkan, mangsa dalam kes ini mengalami kecederaan di bahagian perut, tangan dan pipi akibat diserang suspek menggunakan pisau.

Punca kejadian dipercayai suspek tidak berpuas hati selepas mangsa menghalaunya keluar dari meminta sedekah serta duduk kawasan berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast