Logo Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyokong penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berhubung isu penutupan institusi pondok yang tular baru-baru ini.

Menurut YADIM, penjelasan tersebut amat penting bagi menafikan dakwaan palsu kononnya kerajaan akan mengarahkan penutupan institusi pondok tidak berdaftar di Kelantan dan Kedah.

“Maklumat yang disebarkan itu adalah tidak benar, tidak bertanggungjawab dan boleh menimbulkan salah faham besar dalam kalangan masyarakat terhadap usaha murni institusi agama,” tegas YADIM dalam kenyataan hari ini.

YADIM turut menegaskan, tindakan menyebarkan maklumat palsu berhubung isu sensitif seperti itu boleh menjejaskan keharmonian umat Islam dan menggugat kepercayaan rakyat terhadap institusi-institusi Islam di negara ini.

Menjelaskan lanjut, YADIM memetik kenyataan Mohd Na’im bahawa tiada sebarang arahan penutupan pondok dikeluarkan.

Sebaliknya, pihak berkuasa agama kini giat melaksanakan usaha memperkemas dan menambah baik sistem pendaftaran serta penarafan institusi pendidikan Islam.

“Langkah ini bertujuan memastikan kebajikan pelajar, keselamatan infrastruktur dan kualiti pengajian agama berada di tahap terbaik,” katanya lagi.

Dalam masa sama, YADIM menyeru masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan budaya penyebaran fitnah di media sosial.

“Masyarakat disaran merujuk kepada sumber rasmi seperti Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan agensi berkaitan bagi mendapatkan maklumat yang sahih dan tepat,” tambah kenyataan itu.

YADIM turut menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh peranan institusi pondok, madrasah dan tahfiz sebagai tunjang pendidikan Islam di Malaysia, selaras dengan gagasan Malaysia MADANI yang menekankan aspek ilmu, akhlak dan perpaduan ummah melalui Jawatankuasa Kerja Pondok Malaysia. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast