Nurul Asyiqin Ibrahim mengendalikan brek mooring winch.

KUALA NERUS –“Laut tidak pernah menjanjikan ketenangan, tetapi di situlah lahirnya pelaut yang cekal dan berjiwa besar”.

Ungkapan ini cukup menggambarkan perjalanan luar biasa lima penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang kini sedang menakhoda impian mereka di tengah samudera luas, membawa nama universiti dan negara ke persada maritim antarabangsa.

Mereka ialah Nur Arisa Qayyum Mohd Hassan, Siti Nor Faizatun Radzuan, Nurul Asyiqin Ibrahim dan Nizdawati binti Nizam masing-masing berusia 23 tahun manakala Sri Murugan A/L Saga Devan 26 tahun.

Lima anak muda berjiwa besar ini merupakan graduan Sarjana Muda Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim, UMT.

Kelima-limanya bakal bergraduat pada 27 Oktober ini, namun komitmen sebagai pelaut menyebabkan mereka tidak dapat hadir ke Istiadat Konvokesyen UMT Kali Ke 23 bagi menerima ijazah bersama rakan seperjuangan.

Mereka kini sedang menjalani latihan pegawai kadet di atas kapal dagang antarabangsa bagi melengkapkan syarat keperluan tempoh pelayaran (seatime) selama satu tahun seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Laut Malaysia, bagi tujuan mendapatkan sijil profesional perkapalan iaitu Certificate of Competency for Deck Watchkeeping Officer.

Nur Arisa Qayyum Mohd Hassan melakukan pengawasan anjungan di lautan pasifik utara menuju ke terusan Panama.

Siti Nor Faizatun dan Nizdawati kini menimba pengalaman berharga di bawah CMA Ships Singapore, berkhidmat di atas kapal APL Vancouver, kapal kontena yang menghubungkan pelabuhan utama dunia dari London Gateway, UK hingga ke Rotterdam, Netherlands.

Di bawah kepimpinan Captain Zelic Srdan, mereka menempuh laluan antarabangsa yang menakjubkan merentasi pelabuhan-pelabuhan seperti Hamburg, Antwerp, Valencia dan Sydney.

“Ketika pertama kali berdiri di atas dek kapal yang menjulang tinggi di pelabuhan London, saya terdiam. Saya tahu, ini bukan sekadar latihan tapi inilah kehidupan sebenar seorang pelaut.

“Setiap hari saya belajar tentang disiplin, tanggungjawab dan kebersamaan,” ujar Siti Nor Faizatun, gadis kelahiran Negeri Sembilan dari atas kapal melalui satu perkongsian”.

Bagi Faizatun, pengalaman ini bukan sahaja menguji ketahanan fizikal, tetapi juga menjadi bukti bahawa wanita mampu berdiri sama tinggi dalam dunia perkapalan global.

“Saya ingin buktikan bahawa wanita juga boleh menjadi tenaga penting dalam industri maritim antarabangsa,” tambahnya penuh semangat.

Nurul Asyiqin yang berasal dari Kuala Lumpur pula berlayar di atas kapal APL Salalah, juga milik CMA Ships Singapore, di bawah kepimpinan Captain Cong Jianli. Kapal kontena gergasi ini menghubungkan pelabuhan utama di Asia hingga ke Pantai Timur Amerika
Syarikat.

Laluan pelayarannya membawa beliau dari Port Klang ke pelabuhan seperti Vungtau, Yantian, Busan, Yokohama, New York dan Miami.

“Melihat matahari terbit di tengah Lautan Pasifik memberikan rasa yang sukar diungkapkan. Laut mengajar saya tentang sabar, kesunyian, dan ketabahan,” katanya.

Asyiqin turut berkongsi bahawa bekerja bersama kru daripada pelbagai negara memperkayakan jati diri serta kemahiran komunikasi antarabangsa.

“Setiap pelabuhan membawa cerita baharu, budaya, bahasa dan cara hidup yang berbeza. Ia menjadikan saya lebih menghargai dunia dan menghormati perbezaan,” ujarnya.

Sri Murugan pula merupakan Pegawai Kadet Dek di atas kapal MV Malaysia Passion milik Eastern Car Liner (ECL Shipmanagement, Jepun).
Menjadi satu-satunya kadet Malaysia dalam kalangan 22 pelaut Filipina bukanlah sesuatu yang mudah, namun anak jati Selangor ini tidak pernah goyah.

“Pada awalnya sukar kerana bahasa dan budaya sangat berbeza. Tapi selepas lima bulan di laut, saya sedar laut menjadikan kami satu keluarga,” ujarnya yang kini sedang belayar di Laut China Selatan menuju Teluk Parsi (UAE).

Menariknya, Sri Murugan bukan berasal dari latar belakang maritim, beliau sebelum ini menamatkan Diploma Kejuruteraan Awam di Politeknik, namun memilih untuk meneroka dunia baharu bersama UMT.

“Keputusan untuk menyertai UMT mengubah hidup saya sepenuhnya. Di sinilah saya belajar bukan sekadar ilmu pelayaran, tetapi juga erti keberanian dan keikhlasan dalam mengejar impian,” ujarnya.

Sementara itu Naib Canselor UMT, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim, menyifatkan kejayaan mereka sebagai bukti nyata bahawa pelajar UMT berupaya bersaing dalam industri maritim global yang kompetitif.

“Laut bukan sekadar tempat mereka bekerja, tetapi ruang mereka menimba ilmu, menguji batas diri dan mengenal makna sebenar ketabahan. Mereka adalah duta kecil UMT di samudera dunia,” katanya.

Kisah lima pelaut muda ini menjadi inspirasi bahawa setiap ombak bukan sekadar cabaran tetapi doa yang berlayar bersama mereka.
Di tengah samudera luas, mereka membawa bukan hanya nama sendiri, tetapi juga nama universiti dan tanah air tercinta.

Kerana bagi mereka, setiap pelayaran adalah sebuah perjalanan pulang membawa harapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast