Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang.

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM198.17 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Projek Mesra Rakyat luar bandar di Sarawak pada tahun ini yang melibatkan pelbagai inisiatif pembangunan untuk kesejahteraan penduduk luar bandar.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, peruntukan tersebut meliputi beberapa program utama antaranya Program Bantuan Rumah (PPRS) sebanyak RM112.42 juta melibatkan 5,369 buah rumah, Jalan Perhubungan Desa (JPD) sebanyak RM67 juta untuk 169 projek, Jalan Perhubungan Desa, Jalan Ladang sebanyak RM13.5 juta bagi 28 projek dan Program Ameniti Sosial seabnyak RM5.25 juta merangkumi 18 projek.

Katanya, bagi kawasan Parlimen Selangau, sebanyak empat projek mesra rakyat telah dan sedang dilaksanakan di bawah kementerian berkenaan dengan nilai keseluruhan RM1.9 juta.

“Ia melibatkan tiga projek Jalan Perhubungan Desa dan satu projek di bawah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS).

“Projek berkenaan memberi manfaat secara langsung kepada 23 Ketua Isi Rumah (KIR) melalui baik pulih rumah di bawah PPRS serta kepada 750 penduduk kampung menerusi projek naik taraf JPD di kawasan tersebut,” katanya pada sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan (GPS-Selangau) Edwin anak Banta yang meminta kerajaan menyatakan jumlah projek pembangunan mesra rakyat yang telah dilaksanakan di kawasan luar bandar Sarawak termasuk Selangau serta hasil pengukuran terhadap impak sosioekonomi projek tersebut.

Rubiah turut memaklumkan, setiap projek pembangunan yang telah siap akan dinilai melalui Kajian Penilaian Outcome (KPO) selaras dengan Surat Pekeliling Am Bil. 1 Tahun 2012: Garis Panduan Pengukuran Pencapaian Program/Projek Pembangunan Melalui Penilaian Outcome.

Langkah itu kata beliau, bertujuan memastikan setiap projek yang dilaksanakan memberi nilai tambah dan impak positif kepada masyarakat luar bandar, khususnya dari segi kemudahan akses, peningkatan pendapatan serta pengukuhan jaringan perhubungan antara kampung dan kawasan sekitarnya.

“Selaras dengan pendekatan “touch point” dan “people-centric”, KKDW menegaskan komitmennya untuk memastikan setiap kawasan luar bandar di Sarawak terus menikmati akses kepada jalan perhubungan, bekalan air bersih dan terawat, sekaligus memperkukuh pembangunan sosioekonomi dan memastikan tiada komuniti yang tercicir daripada arus pembangunan negara,” tambahnya. –  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast