KUALA LUMPUR – Pembangkang mendakwa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang ditandatangani ketika kehadiran Donald Trump sebagai ‘kalah sorak kampung tergadai‘.
Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadli Saari berkata, berdasarkan dokumen yang diterbitkan White House, perjanjian itu merupakan‘penjajahan baharu’ AS yang bersembunyi di sebalik slogan kerjasama ekonomi.
“Dokumen rasmi yang diterbitkan oleh White House sendiri di pautan: https://www.whitehouse.gov/…/joint-statement-on-united…/ menunjukkan Agreement on Reciprocal Trade ini bukan perjanjian dua hala yang seimbang, tetapi langkah menyerahkan dasar, sumber dan kuasa kawal selia Malaysia ke tangan Washington.
“Adakah ia merupakan ufti era moden Kerajaan Malaysia untuk Amerika?”soal Ahli Parlimen Pasir Mas itu.
Dakwanya, dalam perjanjian itu, Malaysia bersetuju memberi akses pasaran istimewa kepada eksport Amerika dalam sektor industri dan pertanian, termasuk bahan kimia, mesin dan peralatan elektrik, logam, kenderaan penumpang, hasil tenusu, produk hortikultur, ayam, produk proses, minuman, daging khinzir, beras dan bahan bakar ethanol.
Sebagai balasan, AS hanya komited mengekalkan tarif timbal balik pada 19 peratus seperti yang dinyatakan dalam Executive Order 14257 dan Annex III Executive Order 14346, serta mungkin mempertimbangkan kadar sifar bagi beberapa produk terpilih.
Lebih membimbangkan dakwanya, Malaysia turut menandatangani komitmen untuk melonggarkan sekatan bukan tarif terhadap barangan Amerika.
“Ini termasuk menerima kenderaan buatan AS yang mengikut piawaian keselamatan dan pelepasan gas mereka sendiri, memudahkan lesen import bagi produk keluli dan paip, serta “menyederhanakan keperluan halal” untuk kosmetik, farmaseutikal dan peranti perubatan dari Amerika,” katanya.
Ia juga melibatkan pelonggaran keperluan halal dan pendaftaran fasiliti untuk produk makanan dan pertanian.
Keputusan itu menurutnya memperkecilkan peranan Bahagian Regulatori Farmasi Negara, Pihak Berkuasa Peranti Perubatan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dalam menjamin keselamatan pengguna serta pematuhan syariah di negara ini.
Fadhli mendakwa, sumber strategik negara turut diikat untuk memenuhi keperluan industri AS selepas Malaysia berjanji tidak akan mengharam atau mengenakan kuota eksport terhadap bahan nadir bumi dan mineral kritikal ke negara itu.
Dalam bidang digital, Malaysia katanya, menandatangani komitmen yang jelas menguntungkan syarikat teknologi AS.
“Kesemua fakta dan angka ini datang daripada kenyataan rasmi White House sendiri. Tidak ada ruang lagi untuk menafikan bahawa kerajaan Madani telah menandatangani satu perjanjian yang berat sebelah dan berpotensi menggugat kedaulatan negara.
“Perjanjian ini meletakkan Malaysia sebagai pelaksana kepada kepentingan Amerika — bukan sebagai rakan yang setara,” dakwanya.-MalaysiaGazette
















