KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan telah mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk membuka kertas siasatan terhadap Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) selaku pengendali perkhidmatan aerotrain.
Anthony Loke dalam kenyataan berkata, pada peringkat awal operasi aerotrain, kementeriannya telah mengambil maklum MAHB memerlukan masa bagi menyesuaikan diri memandangkan perkhidmatan tersebut berada dalam fasa penyesuaian awal.
“Namun, memandangkan perkhidmatan aerotrain telah beroperasi selama beberapa bulan, kementerian melalui APAD akan mengambil tindakan tegas terhadap MAHB bagi setiap insiden gangguan perkhidmatan yang berlaku,” katanya.
Loke berkata demikian bagi mengulas insiden gangguan aerotrain terbaharu pagi tadi.
Gangguan itu menyebabkan para penumpang terpaksa meredah laluan pejalan kaki pada keadaan gelap sambil membawa bagasi.
Setakat ini, MAHB belum membuat sebarang kenyataan rasmi.
Loke berkata, lesen pengendali yang dikeluarkan kepada MAHB menetapkan syarikat tersebut wajib memastikan tahap perkhidmatan aerotrain yang memuaskan kepada pengguna.
Malah, di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, pelanggaran syarat lesen pengendali boleh dikenakan kompaun sehingga RM250,000 bagi setiap kesalahan.
Pada 22 Oktober lalu, MAHB berkata, ia sedang bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan APAD untuk menjalankan semakan gangguan perkhidmatan aerotrain di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Katanya, KLIA telah menyediakan APAD dengan dokumentasi teknikal dan data lengkap termasuk maklumat berkaitan insiden perkhidmatan sejak pentauliahan aerotrain pada 1 Julai 2025.
Sejak memulakan perkhidmatan, terdapat beberapa kali insiden aerotrain dihentikan. – MalaysiaGazette
















