Tetsuya Yamagami mengaku salah membunuh bekas PM Jepun, Shinzo Abe. Foto AFP

TOKYO – Seorang lelaki mengaku bersalah membunuh bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, hari ini, tiga tahun selepas insiden menggemparkan dunia itu berlaku.

“Semuanya benar,” kata Tetsuya Yamagami, 45, ketika pertuduhan dibacakan di hadapan hakim mahkamah Nara, sebuah bandar di barat Jepun.

Dia turut mengaku pembunuhan itu berlaku pada Julai 2022.

Namun, peguam Yamagami menegaskan, mereka akan mencabar beberapa pertuduhan, termasuk pelanggaran undang-undang kawalan senjata api kerana didakwa tertuduh menggunakan senjata buatan sendiri.

Perbicaraan Yamagami telah lama tertangguh selepas penemuan satu objek mencurigakan yang kemudiannya didapati tidak berbahaya menyebabkan pembatalan saat akhir di samping pemindahan bangunan mahkamah Nara pada tahun 2023.

Salah satu isu yang melingkari kes ini dan boleh digunakan untuk meringankan hukuman adalah berkaitan ‘penderaan agama’ yang dialami Yamagami semasa kecil.

Ia dilaporkan berpunca daripada ketaksuban ibunya terhadap Gereja Unifikasi, kata media tempatan.

Yamagami dilaporkan menyimpan dendam terhadap Abe kerana menganggap beliau mempunyai hubungan dengan gereja yang diasaskan di Korea Selatan pada tahun 1954 dan dikenali dengan panggilan “Moonies” sempena nama pengasasnya, Sun Myung Moon.

Gereja itu dituduh menyebabkan pengabaian kanak-kanak dalam kalangan ahlinya serta mengeksploitasi mereka dari segi kewangan.

Bagaimanapun, kesemua tuduhan itu dinafikan pihak gereja.

Yamagami dikatakan menaruh dendam terhadap gereja itu kerana keluarganya muflis selepas ibunya mendermakan kira-kira 100 juta yen (anggaran RM2.77 juta) sebagai tanda keimanannya.

Siasatan selepas pembunuhan Abe membawa kepada pendedahan besar-besaran mengenai hubungan rapat antara gereja itu dan ramai ahli politik konservatif dalam Parti Demokratik Liberal yang memerintah, sehingga memaksa empat menteri meletakkan jawatan.

Pada awal tahun 2025, Mahkamah Daerah Tokyo mengeluarkan perintah pembubaran terhadap cabang Jepun gereja tersebut, dengan alasan ia telah menyebabkan “kerosakan yang belum pernah berlaku kepada masyarakat.”

Pembunuhan itu juga membangkitkan kesedaran kepada Jepun iaitu sebuah negara yang memiliki undang-undang kawalan senjata paling ketat di dunia.

Keganasan senjata api begitu jarang berlaku di Jepun sehingga pegawai keselamatan di tempat kejadian gagal mengenal pasti bunyi tembakan pertama dan tiba terlalu lewat untuk menyelamatkan Abe, menurut laporan polis selepas serangan itu.

Insiden itu mendorong Ahli Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang pada tahun 2024 untuk memperketat lagi undang-undang kawalan senjata, bagi menghalang orang ramai daripada membuat senjata api buatan sendiri.

Di bawah peraturan baharu, memuat naik video tutorial tentang cara membuat senjata api atau menyebarkan maklumat mengenai penjualan senjata di media sosial boleh dihukum denda atau penjara kurang daripada setahun. — AFP

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast