SINGAPURA – Singapura akan memperkukuh sokongan kepada keluarga dengan meningkatkan cuti penjagaan anak, memperluas bantuan kewangan untuk kanak-kanak, mengurangkan yuran prasekolah serta meningkatkan akses kepada perumahan, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Ahad.
Beliau berkata, menerusi aturan baharu cuti penjagaan anak, setiap ibu bapa yang bekerja akan menerima lapan hari cuti setahun bagi seorang anak berusia 12 tahun dan ke bawah, 10 hari bagi dua anak dan 12 hari bagi tiga anak atau lebih.
Lawrence menambah, setiap bayi yang dilahirkan juga akan menerima hampir S$70,000 (kira-kira AS$55,141) dalam bentuk sokongan kewangan langsung sepanjang tempoh kanak-kanak, termasuk kredit anak tahunan dan penambahan berkaitan pendidikan.
Kerajaan turut menyasarkan untuk mengurangkan yuran penjagaan kanak-kanak sepenuh hari kepada S$150 sebulan dan yuran penjagaan bayi kepada S$300 sebulan tanpa mengira pendapatan isi rumah, selain menyediakan subsidi tambahan kepada keluarga berpendapatan rendah.
Selain itu, kerajaan akan meningkatkan had pendapatan isi rumah bagi perumahan awam bersubsidi serta memberi keutamaan lebih tinggi kepada keluarga yang mempunyai anak dan membeli rumah buat kali pertama dalam mendapatkan unit baharu.
Sebagai sebahagian daripada langkah lebih menyeluruh untuk membantu rakyat Singapura membina keluarga, kerajaan akan menaikkan had pendapatan bagi flat Bina Ikut Tempahan (BTO) bersubsidi kepada S$16,000 daripada S$14,000.
Had pendapatan bagi kondominium eksekutif pula akan dinaikkan kepada S$18,000 daripada S$16,000.
Wong berkata, langkah berkenaan bertujuan menyokong ibu bapa sepanjang perjalanan membesarkan anak, dan bukan hanya menumpukan bantuan ketika tempoh kelahiran. – Agensi
















