KUANTAN – Penganjuran program Perikatan Nasional (PN) Hogoh Jelai kira-kira seminggu lepas diibaratkan seperti ‘senjata makan tuan’.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mendakwa, ia bukan sahaja tidak mencapai objektif penganjuran malah himpunan itu malah menyerlahkan lagi kredibilitinya sebagai Ahli Dewan Undangan (ADUN) Jelai.
“Boleh dikatakan begitulah (program Hogoh Jelai).. ia jadi memakan diri dan dalam masa sama mempromosikan saya sebagai ADUN Jelai.
“Jadi, saya harap rakyat Negeri Pahang yang berilmu, yang baca buku, banyak pengetahuan boleh buat analisa dan boleh menilai apa hasrat mereka dan apa masalah mereka,” katanya ketika ditemui selepas Merasmikan Pesta Buku Pahang 2025 di sini hari ini.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan khabar angin perpecahan yang berputik dalam PN Pahang kini adalah rentetan kegagalan program terbabit.
Lebih-lebih lagi dengan pengumuman pertukaran Pengerusi PN Pahang yang baharu malam tadi iaitu Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menggantikan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Sebagai rekod, Himpunan Hogoh Jelai yang berlangsung pada 19 Oktober lepas di Jalan Sungai Koyan-Cameron Highlands dihadiri kira-kira 3,000 penyokong PN. – MalaysiaGazette
















