KUALA LUMPUR – Keunggulan Biduanita Negara, Datuk Siti Nurhaliza terus dibuktikan apabila hampir kesemua tiket Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza telah habis dijual dan hanya berbaki sebanyak 2,000 tiket sahaja.
Menurut beliau, sambutan yang luar biasa itu merupakan sesuatu yang diluar jangkaannya kerana ia akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil awal tahun depan.
“Alhamdulillah, jualan tiket, saya rasa dah hampir selesai, tinggal 2,000 sahaja lagi, daripada 60,000 tiket. Tak sampai sebulan tapi lebih daripada separuh tiket telah terjual,” katanya apabila ditemu bual oleh media di Majlis Pelancaran Album Tradisional, Gema Bumantara di sini hari ini.

Tambah Siti Nurhaliza, setakat ini kategori tiket Super VIP, Diamond, Silver, Bronze dan Restricted View sudah habis dijual manakala kategori VIP, Platinum dan Gold masih ada namun ia semakin menyusut dengan pantas.
Mengulas lanjut, beliau mengakui dirinya gementar apabila melihat sambutan yang diberikan oleh peminatnya terhadap konsert yang berskala besar itu.
“Saya memang nervous sebab konsert ini back-to-back dengan konsert yang lain tetapi saya janji akan memberikan yang terbaik tanpa menghampakan peminat,” ujarnya.
Beliau turut berkongsi yang konsert yang berdurasi selama hampir tiga jam itu akan menampilkan pemilihan lagu-lagu yang terkenal sepanjang tiga dekat beliau berkarier dalam industri muzik tanah air. – MalaysiaGazette
















