KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) membantah sekeras-kerasnya perjanjian perdagangan Malaysia – Amerika Syarikat (AS) dan menyifatkannya sebagai ancaman serius terhadap kedaulatan dan keselamatan ekonomi negara.
Ketua Penerangan Perkasa, Irwan Fahmi Ideris berkata, perjanjian tersebut memberi terlalu banyak kelebihan dan konsesi kepada Washington dalam pelbagai sektor strategik termasuk tarif, peraturan, perdagangan digital, sumber penting dan dasar negara.
“Perjanjian ini jelas menjejaskan kebebasan ekonomi Malaysia dan membuka ruang kepada bentuk penjajahan ekonomi moden yang berselindung disebalik istilah ‘kerjasama perdagangan’,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Irwan, antara kebimbangan utama ialah peruntukan yang memaksa Malaysia menerima piawaian serta pensijilan agensi AS seperti FDA, USDA dan FMVSS, sekaligus menghakis kuasa undang-undang tempatan.
Langkah itu katanya, boleh menjejaskan keupayaan negara menegakkan piawaian keselamatan, kesihatan dan industri sendiri serta membuka ruang kepada tekanan luar dalam penggubalan dasar domestik.
Irwan berkata, Perkasa turut memberi amaran terhadap kemasukan besar-besaran barangan pertanian dan perindustrian dari AS termasuk daging, tenusu, telur dan kenderaan bersubsidi.
Keadaan itu, katanya, bakal melemahkan daya saing pengeluar tempatan, merencatkan sektor pertanian serta mengancam sekuriti makanan negara dalam jangka panjang.
Daripada segi aspek digital pula, Perkasa menolak klausa yang dikatakan memaksa Malaysia menghapuskan cukai dan syarat pelaburan tempatan terhadap syarikat teknologi AS, selain membenarkan penyiaran kandungan asing pada waktu perdana.
“Langkah ini boleh melemahkan kedaulatan digital negara, menggugat industri kandungan tempatan dan mengurangkan kuasa kerajaan dalam menapis pengaruh asing dalam media,” ujar Irwan.
Dalam pada itu Perkasa turut mendakwa, perjanjian berkenaan melibatkan kelonggaran kawalan eksport terhadap mineral penting dan unsur nadir bumi serta perkongsian data eksport dengan pihak berkuasa AS, sesuatu yang dianggap berisiko tinggi terhadap keselamatan nasional.
Perkasa katanya, juga membantah syarat pembelian wajib pelbagai produk AS bernilai berbilion dolar termasuk pesawat Boeing, LNG, semikonduktor dan peralatan pertahanan.
“Ini mewujudkan hubungan ekonomi berat sebelah yang hanya menguntungkan Amerika Syarikat, manakala, rakyat Malaysia menanggung kesannya melalui cukai dan kehilangan peluang industri tempatan,” katanya. – MalaysiaGazette
















