KUALA LUMPUR- Program Japan–Malaysia Seminar and Workshop on Hilal Observation 2025 menandakan satu lagi pencapaian penting dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam bidang ilmu falak antara Malaysia dan Jepun.
Program tiga hari ini menghimpunkan pakar falak, sarjana, dan pengamal dari kedua-dua negara bagi berkongsi ilmu serta pengalaman dalam pemerhatian anak bulan, penyelidikan astronomi dan penggunaan teknologi moden dalam penentuan waktu ibadah serta kalendar Islam.
Seminar ini dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Bahagian Penyelidikan, Seksyen Falak, dengan kerjasama Rukyatul Hilal Committee Japan (RHCJ) dan Persatuan Jurufalak Syarie (JUFAS).
Dalam ucapan aluan Presiden RHCJ, Dr. Salimur Rahman Khan Nadwi berkata, seminar ini menjadi platform penting bagi menghubungkan komuniti falak Muslim Jepun dengan dunia Islam.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap kepakaran Malaysia dalam bidang cerapan anak bulan yang menjadi model rujukan bagi umat Islam di Jepun, khususnya dalam penetapan awal Ramadan dan hari raya.
Hari pertama seminar menampilkan tiga sesi utama dengan pembentangan oleh tokoh-tokoh syariah dan falak terkenal Malaysia termasuk Sahibus Samahah Datuk Dr. Anhar Opir, Mufti Selangor; Profesor Datuk Dr. Mohd Zambri Zainuddin, Ahli Panel
Pakar Falak Jakim dan Profesor Kehormat Universiti Malaya; serta Dr. Raihana Abdul Wahab, Ahli Panel Pakar Falak JAKIM dan Pensyarah Universiti Malaya.
Turut serta ialah Dr. Nazhatulshima Ahmad dan Dr. Mohd Hafiz Safiai dari universiti tempatan, bersama pegawai kanan dari Jabatan Mufti Negeri Selangor, Perak dan Negeri Sembilan.
Hari kedua diteruskan dengan lawatan budaya dan keagamaan ke beberapa lokasi penting di Tokyo seperti Kedutaan Besar Malaysia, Japan Muslim Association (JMA), dan Masjid Tokyo Camii.
Siri kuliah selepas Isyak turut diadakan di beberapa masjid sekitar Tokyo termasuk Masjid Otsuka, Masjid Hira, Masjid Yokohama, Masjid Nishikasai dan Masjid Tokai yang menampilkan penceramah dalam kalangan mufti seperti Sahibus Samahah Datu Kipli Yassin, Mufti Sarawak, serta pegawai kanan Jakim dan Jabatan Mufti Negeri.
Program lawatan dan sesi tazkirah ini memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan antara para peserta dengan komuniti Muslim minoriti di Jepun.
Melalui sesi interaksi ini, masyarakat tempatan berpeluang memahami pendekatan Malaysia dalam bidang ilmu falak dan penetapan kalendar Islam.
Bengkel Aplikasi cerapan anak bulan turut melibatkan aktiviti praktikal di dua lokasi utama iaitu Balai Cerap Astronomi Nagano dan Kasai Marine Park, Tokyo.
Aktiviti ini memberi peluang kepada peserta untuk melaksanakan cerapan sebenar dengan bimbingan pakar falak dari Malaysia dan Jepun serta menilai keberkesanan instrumen optik dan teknologi perisian moden dalam pemerhatian anak bulan.
Lawatan ini merupakan kesinambungan kepada usaha pemindahan ilmu dalam bidang falak kepada komuniti Muslim minoriti antarabangsa.
Pada tahun sebelumnya, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya bersama Jakim serta Jabatan Mufti Negeri telah mengadakan kursus ke Diyanet (Presidency of Religious Affairs), Turkiye bagi tujuan penanda aras dan pertukaran kepakaran dalam teori serta amalan cerapan anak bulan.
Tahun ini, Jepun dipilih sebagai destinasi kerana negara tersebut mengamalkan pendekatan rukyah tempatan dan turut merujuk hasil cerapan dari negara jiran seperti Malaysia dalam penentuan awal bulan Hijri.
Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara institusi Islam di Asia Timur dan Asia Tenggara, tetapi turut memperluas kefahaman falak dalam kalangan masyarakat minoriti Muslim Jepun melalui pemindahan ilmu teori dan praktikal berteraskan prinsip
syariah serta kaedah saintifik moden.
Melalui program seperti ini, Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju bidang falak di peringkat antarabangsa. – MalaysiaGazette
















