KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menasihatkan ahli Parlimen pembangkang tidak iri hati dengan projek pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) Mutiara yang bakal dibangunkan di Pulau Pinang.
Ia kerana, katanya, projek tersebut mendapat sokongan daripada rakyat negeri itu yang akan menikmati kemudahan tersebut kelak.
“Jawapan yang paling penting adalah rakyat Pulau Pinang kerana mereka sudah tentu menyokong usaha membangunkan sistem pengangkutan awam. Mereka sendiri boleh nilai adakah mereka mahukan projek sebegini.
“Saya harap Ahli Parlimen sebelah sana, jangan ada perasaan hasad dengki, saya tahu ramai di sebelah sana ada PHD (perasaan hasad dengki) kerana seolah-olah projek yang diberikan kepada Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan 2026) Peringkat Dasar di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, pembangunan pengangkutan awam di Pulau Pinang tidak bermakna Kerajaan Persekutuan menafikan hak di negeri-negeri yang ditadbir oleh parti pembangkang, khususnya Kelantan.
Oleh itu, semua ahli Parlimen sepatutnya menyokong projek berkenaan.
“Kita sepatutnya sokong pembangunan seluruh negara tidak kira di mana. Mana yang ada keperluan, mana yang ada potensi kita bangunkanlah.
“Apabila kita meluluskan projek untuk Pulau Pinang bukan bermaksud kita menafikan pembangunan untuk Kelantan,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Madani tidak pernah memilih bulu dalam perihal pembangunan infrastruktur pengangkutan awam negara khususnya di kawasan berpotensi tinggi.
“Kerajaan Madani pada hari ini tidak seperti kerajaan Perikatan Nasional). Kalau masa kerajaan PN semua projek Pulau Pinang disekat, dipotong, Tetapi hari ini tidak kita buat projek untuk Selangor, Pulau Pinang, yang lain,” ujarnya.
Kenyataan itu menyebabkan Ahli Parlimen Besut Datuk. Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN) bangun mencelah apabila tidak berpuas hati dengan kenyataan Menteri Pengangkutan itu.
Tindakan Che Mohamad itu menggamatkan Dewan Rakyat seketika kerana beliau menyifatkan Anthony tidak adil apabila melibatkan ahli Parlimen pembangkang keseluruhannya.
“Apa yang dengki, tolong jangan buat kenyataan begitu,” katanya sebelum diarah duduk oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yeng.
Projek LRT Laluan Mutiara yang dijangka menelan kos bernilai RM16 bilion telah diluluskan Kabinet dan dibiayai Kerajaan Persekutuan pada Mac 2024 akan dibangunkan oleh MRT Corp sebagai pemaju projek dan pemilik aset.
Pembinaannya dijangka siap pada Disember 2028.- MalaysiaGazette
















