KUALA LUMPUR – Selain perubatan moden, rawatan alternatif merupakan kaedah perubatan yang sering menjadi pilihan masyarakat dalam merawat masalah kesihatan hari ini.
Antara rawatan alternatif adalah seperti bekam, akupuntur, homeopati, amalan perubatan Islam dan refleksologi.
Namun sejak akhir-akhir ini rawatan fashdu yang menjadi pilihan sesetengah masyarakat mula dipertikaikan dan ada yang mendakwa badan menjadi lemah dan hampir pengsan selepas menjalani prosesnya.
Bagi doktor perubatan, Dr Afif Mohd Ridzwan, dia melihat rawatan fashdu yang melibatkan proses penebukan salur darah bertujuan membersihkan tubuh daripada ‘darah toksik’ itu sebagai membahayakan jika tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Sebelum ini saya pernah menerima pesakit yang mengadu badan menjadi tidak sihat dan hampir rebah dalam bilik air selepas beberapa kali buat rawatan fashdu.
“Sekiranya pusat rawatan itu tidak berdaftar serta melanggar Standar Operasi Prosedur yang ditetapkan KKM, sudah tentu ia salah kerana memudaratkan.
“Bagi saya, rawatan tersebut salah dan tidakak boleh dilakukan jika tidak diperakui oleh KKM kerana KKM sendiri melarang mana-mana doktor untuk menjalankan rawatan tersebut ke atas pesakit,” katanya di media sosial miliknya di sini hari ini.
Dr Afif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain turut mengakui segelintir ustaz mempromosikan rawatan itu kepada orang ramai yang didakwa mampu mengurangkan kolesterol dalam darah.
“Bukan semua tetapi ada segelintir ustaz yang menjalankan rawatan ini suka buat hukum sendiri tanpa merujuk kepada KKM kerana ramai yang mengaitkan rawatan ini dengan insan bergelar ustaz.
“Misalnya orang yang merokok, dia akan cakap merokok dibolehkan. Padahal merokok ini fatwanya haram tapi dia tetap cakap boleh dan mereka ada hujah-hujah tersendiri pula.
“Begitulah juga dengan rawatan fashdu, ada ustaz yang membolehkannya sedangkan ia tidak boleh dilakukan dan mereka cakap rawatan itu bagus atas alasan tersendiri.
“Ingin saya tegaskan, rawatan ini adalah harus namun jadi haram apabila membahayakan dan memudaratkan melainkan ia mematuhi semua aspek SOP yang telah ditetapkan KKM.
“Dalam Islam pun melarang perkara yang boleh merosakkan atau memudaratkan kesihatan. Itu satu perbuatan zalim apabila mencampakkan diri ke arah sesuatu yang berisiko membahayakan kesihatan.
“Bagi saya, daripada buat rawatan al Fashdu, lebih baik pergi menderma darah di hospital atau mana-mana klinik. Selain badan sihat, pahala pun dapat,” katanya.
Menurut Dr Afif lagi, terdapat beberapa faktor lain lagi yang menyebabkan rawatan fashdu tidak dibenarkan.
“Antara alasan rawatan ini tidak dibenarkan jika lokasi persekitaran tidak kondusif, tiada ciri-ciri kebersihan malah ada sesetengah pengamal yang menjalankan prosedur tersebut tidak menggunakan sarung tangan.
“Bukan itu sahaja, peralatan terutamanya jarum yang digunakan tidak disteril (nyahkuman) kerana ia menjadi sumber jangkitan kuman dan virus seperti HIV dan hepatitis,” katanya.
Selain itu, Dr Afif juga menjelaskan, rawatan fashdu perlu dilakukan dengan pengawasan ahli yang mahir kerana pesakit akan disaring terlebih dahulu untuk mengetahui status kesihatan mereka seperti tekanan darah, paras gula, status HIV atau penyakit-penyakit berjangkit lain. – MalaysiaGazette
















