KUANTAN – Sebanyak 716 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Pahang menerusi Ops Target yang dijalankan di tiga lokasi sekitar bandar ini malam tadi.
Dalam operasi yang bermula 8 malam dan berakhir 2 pagi itu, sejumlah 1,540 pelbagai jenis kenderaan telah diperiksa.
“Kesalahan utama melibatkan pemandu tiada lesen memandu (CDL) iaitu 182 notis, LKM tamat tempoh sebanyak 129 notis, dan tiada insurans sebanyak 115 notis.
“Selain itu, sebanyak 75 notis turut dikeluarkan bagi lain-lain kesalahan teknikal dan 68 notis dikeluarkan kerana nombor pendaftaran fancy,” katanya.
Dalam operasi itu juga, sebanyak 167 kenderaan telah diambil tindakan di atas pelbagai kesalahan.
JPJ Pahang menyeru semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan. – MalaysiaGazette
















