KUALA LUMPUR – Pengiktirafan Muslim Choice oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muslim Friendly Watch (MFW) bukan perakuan atau penandaan halal yang diiktiraf oleh pihak berkuasa.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, pengiktirafan itu boleh mengelirukan masyarakat berhubung status halal sesuatu produk atau premis.
Terdahulu JAKIM telah mengadakan pertemuan dengan MFW pada 23 Ogos 2024 dan telah memaklumkan pengiktirafan Muslim Choice yang dijalankan pertubuhan itu boleh mendatangkan kekeliruan dalam kalangan pengguna sekali gus memohon supaya ia dihentikan.
Namun berdasarkan aduan daripada pihak berkuasa agama negeri, pihak MFW dikesan masih meneruskan aktiviti tersebut.
Berdasarkan peruntukan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, hanya Jakim dan Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri (MAIN/JAIN) diberi kuasa untuk mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) serta memberi kebenaran penggunaan logo Halal Malaysia kepada mana-mana pihak yang diperakukan.
“Sebarang penggunaan logo, simbol, istilah, kenyataan atau ungkapan yan membawa maksud halal dan boleh dimakan oleh orang Islam yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak selain Jakim atau MAIN/JAIN, adalah tidak sah serta menyalahi peraturan.
“Ia juga boleh menjejaskan integriti sistem pensijilan halal negara dan mengelirukan pengguna Muslim,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Pengiktirafan Muslim Choice diperkenalkan MFW kepada para pengusaha yang menepati syarat dan piawaian yang ditetapkan oleh pertubuhan tersebut dengan tujuan memberi keyakinan kepada pengguna bahawa produk atau premis yang diiktiraf adalah berkualiti, bersih dan selamat serta selari dengan prinsip Islam.
Sementara itu, Sirajuddin mengingatkan semua pihak tidak menggunakan atau mempamerkan sebarang bentuk logo, simbol, istilah, kenyataan, atau ungkapan yang boleh memberi tanggapan halal tanpa pengesahan daripada Jakim atau MAIN/JAIN. – MalaysiaGazette

















Maaf tak cukup saman dan batalkan je pertubuhan ni. mintak ROS ambil tindakkan.