Gambar hiasan.

MELAKA – Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian lemas kanak-kanak lelaki berusia tiga di sebuah kolam di rumah inap (homestay) di Durian Tunggal, Alor Gajah malam Sabtu lalu selepas dipercayai wujud unsur pengabaian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamed berkata, pasangan berusia 30-an itu dipanggil bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Menurutnya, kejadian itu dilaporkan berlaku di sebuah rumah  inap (homestay) di Durian Tunggal pada malam Sabtu lalu sebelum mangsa dibawa ke Wad Kecemasan Hospital Melaka dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11.45 malam.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan mati lemas dan kes disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

“Kedua-dua ibu bapa mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an akan dipanggil bagi membantu siasatan lanjut
bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamed

Seksyen itu adalah atas kesalahan menganiaya, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak yang memperuntukkkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan kegembiraan perhimpunan tujuh buah keluarga terdiri daripada 35 ahli termasuk 20 kanak-kanak di rumah inap itu sejak Jumaat lalu bertukar pilu apabila mangsa ditemukan lemas.

Menurut sumber, pada hari kejadian pada Sabtu lalu, keluarga berkenaan mengadakan aktiviti sukaneka sekitar pukul 9 pagi dan berakhir kira-kira 3 petang sebelum semua mereka meneruskan aktiviti santai pada sebelah malam.

Siasatan awal mendapati, ibu mangsa berusia 36 tahun memberitahu ada melihat anaknya sekitar 9 malam ketika dia naik ke bilik tingkat atas untuk bermain.

Sumber berkata, kira-kira 10.30 malam, bapa saudara mangsa menemui kanak-kanak itu terapung dalam keadaan meniarap di dalam kolam dan tidak sedarkan diri.

Bapa mangsa yang panik cuba melakukan bantuan pernafasan sementara ibu mangsa menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan kecemasan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast