KUALA LUMPUR – Kerajaan diingatkan tidak mengambil tindakan terlalu drastik hingga mahu mengharamkan aplikasi permainan dalam talian seperti Roblox susulan kejadian tragis yang mengancam keselamatan kanak-kanak, baru-baru ini.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, sebaliknya kerajaan perlu memperketatkan penggunaan aplikasi itu sekiranya kanak-kanak bawah umur 16 tahun cuba menggunakan akaun ibu bapa untuk tujuan itu.
“Kita semua jangan mengambil tindakan yang begitu drastik sebab saya dengar ada yang nak mengharamkan terus Roblox dan sebagainya. Saya fikir itu adalah satu tindakan yang tidak seimbang.
“Permainan dalam talian seperti Roblox secara natijahnya adalah selamat untuk kanak-kanak, cuma kita wajib perketatkan penggunaannya.
“Kita kena pastikan kanak-kanak bawah umur 16 tahun tidak menggunakan akaun ibu bapa mereka untuk pergi dalam talian,” katanya ketika Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menggulung Belanjawan 2026 di peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan sedang meneliti kemungkinan mengharamkan aplikasi permainan dalam talian popular Roblox dan UMI susulan kebimbangan mengenai keselamatan dan kandungan yang mempengaruhi golongan muda.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan berkata, perkara itu masih di peringkat perbincangan dengan keputusan muktamad akan mengambil kira langkah bakal diambil oleh Australia yang merancang melaksanakan peraturan baharu terhadap Roblox pada Disember ini.
Kebimbangan itu timbul selepas seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera parah akibat dikelar dan ditikam abangnya berusia sembilan tahun akibat pengaruh permainan video dalam talian di Kampung Parit Nipah Laut, Batu Pahat, Johor, 27 Oktober lalu.
Siasatan awal pihak polis mendapati, suspek dipercayai bertindak demikian selepas berang apabila permainan dalam talian Roblox miliknya terganggu hingga menyebabkan kehilangan kira-kira sejuta mata terkumpul (point) selepas mangsa merosakkan telefon bimbit berkenaan. – MalaysiaGazette
















