PUTRAJAYA – Kemelut dalaman yang melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak mencerminkan perpecahan dalam kalangan orang Melayu di negara ini.
Bekas Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pergolakan yang berlaku ketika ini hanya melibatkan bekas partinya semata-mata dan tidak memberi kesan terhadap perjuangan penyatuan bangsa Melayu.
“Itu perpecahan dalam parti mereka, tapi tidak ada perpecahan dari segi perjuangan untuk bangsa Melayu sendiri,” katanya pada sidang media meja bulat berkaitan Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (RTA) antara Amerika Syarikat dan Malaysia bersama parti-parti politik serta NGO di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.
Dr. Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas pergolakan dalaman Bersatu susulan beberapa pemimpin parti itu didakwa hilang kepercayaan terhadap Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah menggesa Muhyiddin meletakkan jawatan selepas mendakwa beliau telah kehilangan kualiti kepimpinan yang pernah dimilikinya ketika menubuhkan parti itu.
Saifuddin berkata, Muhyiddin kini tidak lagi menunjukkan ciri kepimpinan berasaskan adab, ilmu dan kemahiran seperti dahulu.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa, Muhyiddin mempunyai personaliti yang sukar didekati, sekali gus menyebabkan ramai pemimpin akar umbi lebih selesa dengan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Ditanya sama ada beliau berpihak kepada Muhyiddin atau Hamzah, Dr. Mahathir enggan memilih mana-mana pihak.
“Kita tidak ambil kira itu, kedua-dua mereka Melayu,” katanya.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, apa yang penting ketika ini ialah usaha menyatukan umat Melayu di bawah satu gagasan besar tanpa mengira parti politik bagi mengembalikan kekuatan politik bangsa itu.
“Ia akan menyertai payung besar sebagai orang Melayu, bukan sebagai Bersatu dan bukan sebagai pemimpin dan lain, mereka ada dalam payung besar sama macam orang lain sebagai orang Melayu yang nak pertahankan kepentingan orang Melayu,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















