PASIR GUDANG – Seorang lelaki tempatan maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Mesjid, Pasir Gudang di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian berlaku pukul 3.25 petang tadi melibatkan mangsa yang berusia 39 tahun.
“Kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR sedang bergerak lurus di laluan tersebut menuju ke Jalan Besar, Pasir Gudang.
“Siasatan awal mendapati mangsa menunggang secara di antara celah kenderaan lain sebelum sebuah kereta Perodua Axia, dipandu seorang wanita tempatan berusia 58 tahun membelok ke kanan dari arah Jalan Mesjid untuk memasuki kawasan Masjid An-Nur,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kereta tersebut menyebabkan kecederaan parah pada bahagian dalaman.
Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu dengan cuai atau berbahaya di jalan raya.
Pemandu berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut, katanya.
Beliau meminta saksi kejadian orang yang mempunyai sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pihak polis 07-3864222 bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette
















