KUALA LUMPUR – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan menerima kunjungan hormat daripada delegasi Drug Policy Program Malaysia (DPPM) bersama pakar antarabangsa dari Portugal dan United Kingdom di Bukit Aman hari ini.
Menurut JSJN, kunjungan tersebut melibatkan tokoh penting dalam bidang penguatkuasaan undang-undang dan dasar dadah moden dengan tujuan memperkukuh hubungan awal antara JSJN dan pakar antarabangsa melalui sesi pengenalan rasmi.
Jabatan itu berkata, pertemuan berkenaan turut membuka ruang perbincangan strategik mengenai pendekatan semasa Malaysia dalam penguatkuasaan dadah termasuk isu dasar, cabaran operasi serta keberkesanan tindakan yang sedang dilaksanakan.
“Mendalami amalan terbaik antarabangsa khususnya model pengendalian isu dadah di Portugal dan United Kingdom merangkumi pengalaman lapangan, pencegahan, pemulihan serta polisi yang digunakan oleh Polis Negara Portugal.
“Kunjungan ini juga bagi mendengar pembentangan oleh Commander Polis Portugal yang berkongsi bagaimana agensi penguatkuasaan mereka menangani penyalahgunaan dadah melalui pendekatan bersepadu, komuniti, dan strategi kepolisan moden,” kata JSJN dalam kenyataan di Facebook rasminya hari ini.
Delegasi luar negara itu disertai oleh Superintendan Commandant Rui Filipe Costa dari Public Security Police of Lisbon, Nuno Capaz dari Lisbon Dissuasion Commission, Neil Woods dari Law Enforcement Action Partnership, Palani Narayanan selaku Pengarah DPPM, serta Farid Zuhri Ismail, Pegawai Teknikal Kanan DPPM.
Turut hadir mewakili JSJN ialah Timbalan Pengarah Narkotik (Perlucuthakan Harta/Perundangan/Tahanan), Deputi Komisioner Polis Mohd Zani Che Din; Timbalan Pengarah Narkotik (Risikan/Operasi), Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali; Timbalan Pengarah Narkotik (Penguatkuasaan/Pencegahan/Kepolisan Am), Datuk Mohd Zaki Ashar; Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Risikan/Operasi), Datuk Jasmirol Jamaluddin; Asisten Komisioner Chandra Segaran Subramaniam serta barisan pegawai kanan JSJN Bukit Aman.
JSJN menegaskan, kunjungan tersebut menjadi platform penting dalam memperkukuhkan rangkaian kerjasama global, sekali gus menyokong usaha jabatan itu memperhebat strategi memerangi jenayah dadah melalui perkongsian ilmu, pengalaman dan kepakaran antarabangsa. – MalaysiaGazette
















