Suraya Sulaiman

JOHOR BAHRU – Kementerian Pendidikan (KPM) digesa segera melaksanakan audit keselamatan menyeluruh di semua sekolah khususnya di kawasan berisiko seperti tandas dan laluan sunyi.

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Suraya Sulaiman berkata, KPM juga digesa menubuhkan Unit Respons Krisis Sekolah bagi menangani segera sebarang kejadian membabitkan keselamatan pelajar.

“Selain itu, pendidikan anti-buli dan empati pelajar mesti dijadikan program wajib di sekolah bagi menanam nilai hormat, kasih sayang dan tanggungjawab sesama rakan.

“Pejuang turut menekankan keperluan menyediakan sokongan psikososial kepada pelajar dan guru yang terkesan agar trauma dapat ditangani dengan baik,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, langkah itu bagi memastikan kejadian murid Tahun Empat, Allahyarham Zhafran Muhammad Hafizudin meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam tandas sebuah sekolah rendah di Senawang, Negeri Sembilan pada 1 Oktober lalu, dapat dielakkan.

Insiden itu katanya, amat menyedihkan dan menimbulkan persoalan besar mengenai tahap keselamatan murid di sekolah.

“Kami berharap siasatan pihak berkuasa dijalankan dengan telus dan keadilan dapat ditegakkan.

“Keselamatan pelajar mesti menjadi keutamaan mutlak dan tragedi yang menimpa Allahyarham Iman Zhafran harus menjadi pengajaran besar kepada semua pihak agar ia tidak berulang lagi,” tegasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast