KUALA LUMPUR – Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 merupakan unilateral dan dakwaan mengatakan Malaysia dipaksa berunding adalah tidak tepat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, Malaysia terpaksa berunding untuk mendapatkan tarif yang lebih rendah.
“Apakah keputusan AS itu unilateral, betul, saya bincang panjang dengan Presiden Brazil, Lula da Silva yang kena 50 peratus (tarif), dia bantah, dia tak setuju, dia berunding.
“Janganlah cakap berdegar-degar, ini kenyataan, Brazil kena 50 peratus, dia berunding di Kuala Lumpur. Dia minta bertemu (Trump) setelah unilateral keputusan AS. Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa pun begitu.
“China dikenakan unilateral, ya, oleh kerana China itu negara besar, dia tak kata dia dipaksa, dia kata dia sedia berunding bila AS ambil kesempatan begitu.
“Saya beritahu dalam mesyuarat bilateral Menteri-Menteri yang ada, Menteri Luar, ya saya sebut Mr President, saya tak setuju, mula dia kata 25 peratus, turun 19 peratus, saya tak setuju, ia mesti lebih rendah, ini unilateral dia (AS),” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam soalan tambahannya meminta Perdana Menteri menjelaskan laporan akhbar The Edge bertajuk Malaysia Dipaksa Berunding Perdagangan AS Untuk Melindungi Eksportnya, kata Timbalan Menteri, pada Isnin.
Menurut Takiyuddin, laporan media itu memetik kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.
Dalam pada itu, Anwar mengesahkan kenyataan Hui Ying itu sebagai hampir tepat namun naratifnya agak tidak terperinci.
“Jadi maksudnya (Hui Ying), mungkin naratif Timbalan Menteri (Kewangan) itu tidak halus betul-betul, tetapi semangatnya betul, kita tak setuju 19 peratus.
“Konteksnya kena betul, kalau tanya saya, kita harus berunding, tapi istilah Timbalan Menteri (Kewangan) kita dipaksa berunding, tak apa, saya akan minta dia tala halus sedikit ya.
“Dalam keadaan begitu, kita gunakan sedaya upaya, sebenarnya rundingan itu mengambil masa berbulan-bulan dengan pasukan kita yang keras, tidak mudah,” katanya. – MalaysiaGazette
















