default

JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melonjak ke tangga ke-25 dalam QS World University Rankings: Asia 2026 iaitu kedudukan tertinggi yang pernah dicapai universiti ini di peringkat serantau.

Pencapaian berkenaan menempatkan UTM dalam kelompok peratus universiti terbaik di Asia, sekali gus mengatasi 98.4 peratus institusi lain di rantau ini.

Kejayaan itu turut mengukuhkan kedudukan UTM sebagai sebuah universiti penyelidikan terulung negara dan institusi peneraju dalam kecemerlangan akademik, penyelidikan berimpak serta jaringan kerjasama global.

Naib Canselor UTM, Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga UTM atas dedikasi dan usaha berpasukan yang berterusan.

“Peningkatan ke tangga ke-25 dalam QS Asia Rankings 2026 merupakan detik yang membanggakan bagi UTM dan Malaysia.

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen warga UTM, terdiri daripada pensyarah, staf dan pelajar yang telah menjunjung nilai integriti, adab serta keyakinan bahawa teknologi mesti memberikan manfaat kepada kemanusiaan dan kehidupan.

“Fokus UTM bukan sekadar pada kedudukan dalam penarafan, tetapi pada maknanya iaitu peningkatan kualiti berterusan dalam pengajaran, penyelidikan dan inovasi dalam melahirkan bakat yang dapat menjadi penyelesai cabaran semasa dunia dan negara, serta bersedia menghadapi masa depan yang cepat berubah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebanyak 1,526 institusi di seluruh Asia termasuk 48 universiti dari Malaysia telah menyertai penarafan ini.

Dalam pada itu, UTM memberitahu, sepanjang sedekad yang lalu universiti berkenaan telah menunjukkan peningkatan konsisten dalam penarafan serantau, mencerminkan komitmen jangka panjang terhadap kecemerlangan dan inovasi.

“Bermula pada kedudukan ke-61 pada tahun 2015, UTM menembusi kelompok 50 terbaik pada tahun 2018, meningkat ke-40 terbaik menjelang 2021, berada dalam kelompok 30 terbaik pada 2025 dan kini dengan bangganya tersenarai dalam 25 universiti terbaik di Asia,” menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan itu memaklumkan, skor keseluruhan UTM turut mencatat peningkatan ketara daripada 84.8 kepada 91.2 pada tahun ini, selaras dengan pelaksanaan pelan strategik universiti khasnya Pelan Global UTM 2012-2020 dan enVision UTM 2021-2025.

“Dalam edisi 2026, UTM terus menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam pelbagai penunjuk utama dengan keputusan yang menyerlah serta memperkukuh reputasi akademik dan kedudukan globalnya,” tambah kenyataan itu.

Kenyataan itu juga memaklumkan, UTM berada di tangga ke-7 di Asia bagi penunjuk Jaringan Penyelidikan Antarabangsa, menggambarkan kepimpinan universiti dalam menjalin kerjasama penyelidikan rentas sempadan.

“UTM turut mencatat skor 97.4 dalam penunjuk Reputasi Akademik mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap kecemerlangan pengajaran dan penyelidikannya, serta skor 97.8 dalam Employer Reputation (Reputasi Majikan) yang menandakan keyakinan berterusan pihak industri terhadap kualiti graduan UTM,” menurut UTM.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast