Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) kini sedang berbincang dengan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi menyelaraskan piawaian pensijilan masing-masing, termasuk cadangan pelaksanaan audit bersama bagi mengurangkan kos pematuhan dan beban pentadbiran khususnya kepada pekebun kecil.

Ketua Pegawai Eksekutif RSPO, Joseph D’Cruz berkata, pendekatan itu akan membantu mengelakkan pertindihan proses audit serta memperkemas usaha memperkukuh standard kelestarian industri sawit negara.

“Ketika ini, kedua-dua sistem pensijilan memerlukan ladang diaudit setiap tahun. Jika audit dapat dijalankan secara bersama, ia bukan sahaja menjimatkan kos, tetapi turut memudahkan pekebun kecil mematuhi piawaian,” katanya pada sidang media sempena Persidangan Meja Bulat Tahunan Minyak Sawit Lestari (RT2025), di sini, hari ini.

Menurut D’Cruz, perbincangan teknikal dengan pihak MSPO sedang dijalankan bagi menilai kesesuaian penyelarasan, termasuk kemungkinan menggunakan instrumen dan borang penilaian audit yang sama supaya data boleh diguna bagi kedua-dua pensijilan.

“RSPO melihat kolaborasi dengan sistem kebangsaan seperti MSPO sebagai langkah penting ke arah menjadikan keseluruhan industri sawit Malaysia bergerak seiring dalam menegakkan amalan mampan.

“Kami sentiasa berhubung dengan kementerian dan pihak MSPO untuk melihat bagaimana kedua-dua sistem dapat digabungkan tanpa menjejaskan integriti piawaian masing-masing,” ujarnya.

Beliau berkata, RSPO turut melaksanakan pendekatan serupa di Thailand, Indonesia dan Papua New Guinea dengan kerjasama kerajaan tempatan bagi mengukuhkan dasar nasional berasaskan prinsip RSPO.

Dalam perkembangan lain, D’Cruz menegaskan peluasan pasaran RSPO ke negara baharu seperti China dan Asia Barat tidak akan menjejaskan tahap piawaian kelestarian sedia ada, sebaliknya menawarkan produk yang menepati standard tertinggi dunia.

“Kami tidak menurunkan standard semata-mata untuk mendapatkan lebih banyak bahagian pasaran. Apa yang kami tawarkan kepada pembeli di China ialah produk yang sudah memenuhi standard RSPO sepenuhnya.

“Pembeli di China kini membeli minyak sawit bersijil RSPO bukan lagi untuk tujuan eksport, tetapi bagi produk yang dijual di pasaran domestik kerana mahu memastikan kualiti dan kredibiliti dalam produk mereka,” katanya.

Mengulas mengenai pelaksanaan Peraturan Penyahutanan EU (EUDR), beliau menjelaskan sebahagian besar minyak sawit dari Malaysia yang digunakan di Eropah telah lama disijilkan di bawah RSPO dan memenuhi keperluan bebas penyahhutanan.

“Kami juga telah berunding dengan pihak kastam di Eropah supaya mereka memahami maksud dan nilai di sebalik pensijilan RSPO. Ia membantu melancarkan proses kemasukan produk ke pasaran EU tanpa halangan tambahan,” ujarnya.

Selain itu, D’Cruz berkata, RSPO turut memperkukuh kerjasama dengan Persatuan Pekebun Kecil Kebangsaan (NASH) bagi meningkatkan penyertaan pekebun kecil dalam pensijilan RSPO dan memberi mereka akses kepada pasaran premium global.

“Pensijilan RSPO membolehkan pekebun kecil menikmati harga lebih baik serta meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil tanaman,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast